Surah 22: Al-Hajj (15)

Allah Ta’ala Pasti Menolong Rasul-Nya dalam Semua Keadaan

Surah 22: Al-Hajj (15)


Ayat 15

مَن كَانَ يَظُنُّ أَن لَّن يَنصُرَهُ ٱللَّهُ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ فَلْيَمْدُدْ بِسَبَبٍ إِلَى ٱلسَّمَآءِ ثُمَّ لْيَقْطَعْ فَلْيَنظُرْ هَلْ يُذْهِبَنَّ كَيْدُهُۥ مَا يَغِيظُ

Sesiapa yang menyangka bahawa Allah sekali-kali tidak menolongnya (Muhammad) di dunia dan akhirat, maka hendaklah dia merentangkan tali ke langit, kemudian hendaklah dia melaluinya, kemudian hendaklah dia fikirkan apakah tipu dayanya itu dapat melenyapkan apa yang menyakitkan hatinya.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan sesiapa yang menyangka Allah Ta’ala tidak akan menolong Nabi Muhammad saw di dunia dan di akhirat, hendaklah dia merentangkan tali ke lelangit rumahnya dan menggantungkan dirinya dengan tali tersebut untuk membunuh dirinya.

Ucapan ini adalah sebagai satu ejekan kepada mereka. Ini kerana Allah Ta’ala pasti akan menolong dan memenangkan baginda seperti firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami akan menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari tampilnya para saksi (Hari Kiamat).”

Al-Mukmin 40:51

As-Suddi menyatakan bahawa hal yang menyakitkan hati mereka adalah disebabkan agama Nabi Muhammad saw semakin berkembang iaitu semakin mendapat tempat di hati sebahagian daripada mereka.