Celaan terhadap Orang yang Mengingkari Hari Kebangkitan dan Mengikuti Syaitan
Surah 22: Al-Hajj (3 – 4)
Ayat 3
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُجَـٰدِلُ فِى ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيْطَـٰنٍۢ مَّرِيدٍ
Di antara manusia ada yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat.
Allah Swt mengecam orang-orang yang membantah perkara ghaib yang diturunkan kepada para Nabi-Nya tanpa ilmu yang benar. Mereka mendustakan Hari Kebangkitan dan mengingkari kekuasaan-Nya untuk menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati.
Selain berpaling daripada apa yang diturunkan oleh Allah Swt kepada para Nabi-Nya, mereka juga mengikuti syaitan daripada kalangan jin dan manusia yang jahat dalam setiap perkataan, pengingkaran dan kekafiran.
Kecaman ini juga ditujukan kepada para pengikut bid’ah dan kesesatan yang berpaling daripada kebenaran dan mengikuti kebatilan. Mereka meninggalkan kebenaran yang jelas dan mengikuti perkataan para pemimpin kesesatan yang menyeru kepada bid’ah dan hawa nafsu serta pendapat-pendapat akal.
Ayat 4
كُتِبَ عَلَيْهِ أَنَّهُۥ مَن تَوَلَّاهُ فَأَنَّهُۥ يُضِلُّهُۥ وَيَهْدِيهِ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلسَّعِيرِ
Yang telah ditetapkan terhadap syaitan itu, bahawa sesiapa yang berkawan dengannya, tentu dia akan menyesatkannya, dan membawanya ke dalam azab neraka.
Sesiapa sahaja yang mengikuti syaitan nescaya syaitan itu akan menyesatkannya daripada kebenaran dan menunjukkannya jalan ke neraka.