Surah 21: Al-Anbiya’ (110 – 112)

Allah Swt Mengetahui Segala Sesuatu Baik yang Nampak Mahupun yang Tersembunyi

Surah 21: Al-Anbiya’ (110 – 112)


Ayat 110

إِنَّهُۥ يَعْلَمُ ٱلْجَهْرَ مِنَ ٱلْقَوْلِ وَيَعْلَمُ مَا تَكْتُمُونَ

Sesungguhnya Dia mengetahui perkataan (yang kamu ucapkan) dengan terang-terangan dan Dia mengetahui siapa yang kamu rahsiakan.

Sesungguhnya Allah Ta’ala mengetahui semua yang ghaib dan apa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya secara terang-terangan serta yang dirahsiakan. Kelak, Dia akan membalas mereka atas perbuatan yang telah dilakukan baik yang kecil mahupun yang besar.

Ayat 111

وَإِنْ أَدْرِى لَعَلَّهُۥ فِتْنَةٌ لَّكُمْ وَمَتَـٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

Dan aku tidak mengetahui, boleh jadi perkara itu ujian bagi kamu dan kesenangan hingga ke suatu waktu.

Rasulullah saw mengatakan bahawa baginda tidak mengetahui mengapa seksaan yang akan ditimpakan kepada orang-orang musyrik itu ditangguhkan. Barangkali ini merupakan ujian ataupun kesenangan duniawi kepada mereka sehingga tiba waktu yang telah ditentukan untuk melihat apa yang mereka lakukan.

Ibnu Jarir mengatakan, kemungkinan seksaan kepada mereka ditangguhkan itu merupakan suatu ujian dan kesenangan hingga kepada tempoh yang telah ditentukan. ‘Aun juga mentafsirkan seperti ini daripada Ibnu ‘Abbas ra.

Ayat 112

قَـٰلَ رَبِّ ٱحْكُم بِٱلْحَقِّ ۗ وَرَبُّنَا ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ

(Muhammad) berkata, “Wahai Rabbku, berilah keputusan dengan adil. Dan Rabb kami adalah Rabb Yang Maha Pemurah lagi yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu katakan.”

Qatadah mengatakan bahawa dahulu para Nabi ‘alaihimus salam selalu berdoa, “Wahai Rabb kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah Pemberi keputusan yang sebaik-baiknya.” (Surah Al-A’raf 7: 89). Nabi Muhammad saw juga diperintahkan-Nya berdoa seperti ini.

Diriwayatkan daripada Malik, daripada Zaid ibnu Aslam, bahawa apabila Rasulullah saw menghadiri suatu peperangan, baginda selalu membaca doa di atas.

Hanya kepada Allah Ta’ala sahaja tempat untuk memohon pertolongan terhadap pendustaan dan segala tipu daya yang dilakukan oleh orang-orang musyrik.