Surah 21: Al-Anbiya’ (101 – 103)

Keadaan Orang yang Mendapat Kebahagiaan

Surah 21: Al-Anbiya’ (101 – 103)


Ayat 101

إِنَّ ٱلَّذِينَ سَبَقَتْ لَهُم مِّنَّا ٱلْحُسْنَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ عَنْهَا مُبْعَدُونَ

Bahawasanya orang-orang yang telah ada untuk mereka ketetapan yang baik daripada Kami, mereka itu dijauhkan dari neraka.

Al-Hakim meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, tatkala turun ayat ini, Ibnu Ziba’ra berkata, “Kalau begitu matahari, bulan, malaikat dan ‘Uzair juga berada di neraka bersama tuhan-tuhan kami kerana mereka itu juga disembah.” Lalu turunlah ayat 101 ini dalam surah Al-Anbiya’ dan juga ayat 57 serta ayat 58 dalam surah Az-Zukhruf.

Ayat ini diturunkan sebagai bantahan terhadap ‘Abdullah bin Az-Ziba’ra yang mengatakan jika mereka dimasukkan bersama-sama dengan ilah-ilah mereka ke neraka, tentulah malaikat yang mereka sembah, Nabi ‘Isa as dan ‘Uzair juga akan bersama-sama mereka di neraka.

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang mendapat kebahagiaan ialah mereka yang beriman kepada Allah Swt dan Rasul-rasul-Nya. Mereka juga telah mengerjakan amal kebajikan di dunia seperti firman-Nya:

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahan (kenikmatan melihat Allah)….”

Yunus 10:26

Ayat 102

لَا يَسْمَعُونَ حَسِيسَهَا ۖ وَهُمْ فِى مَا ٱشْتَهَتْ أَنفُسُهُمْ خَـٰلِدُونَ

Mereka tidak mendengar sedikit pun suara api neraka, dan mereka kekal dalam menikmati apa yang diingini oleh mereka.

Ayat 103

لَا يَحْزُنُهُمُ ٱلْفَزَعُ ٱلْأَكْبَرُ وَتَتَلَقَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ هَـٰذَا يَوْمُكُمُ ٱلَّذِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Mereka tidak disusahkan oleh kedahsyatan yang besar (pada Hari Kiamat), dan mereka disambut oleh para malaikat. (Malaikat berkata), “Inilah harimu yang telah dijanjikan kepadamu.”

Ayat 102 dan 103 menerangkan tentang orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Mereka akan mendapat kebahagiaan di dalam syurga dan dijauhkan dari neraka.

Allah Ta’ala menggambarkan lagi keadaan mereka di dalam syurga iaitu:

▪️    Mereka tidak mendengar suara api neraka yang sedang membakar jasad-jasad ahli neraka.

▪️    Mereka kekal tinggal di dalam syurga dengan merasakan kegembiraan dan menikmati apa sahaja yang mereka sukai dan ingini.

▪️     Mereka sedikit pun tidak berasa takut walaupun pada ketika itu terdapat kegemparan yang sangat besar iaitu ketika ditiupkan sangkakala kali kedua, ketika manusia dibangkitkan dari kubur untuk dihisab, sebagaimana firman-Nya:

“Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkakala, maka terkejutlah segala yang di langit dan segala yang di bumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan semua mereka datang menghadap-Nya dengan merendahkan diri.”

An-Naml 16:87

▪️     Mereka disambut oleh malaikat yang memberi khabar gembira iaitu dengan mengatakan bahawa itu adalah hari yang telah dijanjikan kepada mereka ketika di dunia dahulu iaitu hari kebahagiaan, kemuliaan, ganjaran dan pahala yang baik.