Kisah Tembok Ya’juj dan Ma’juj
Surah 21: Al-Anbiya’ (95 – 97)
Ayat 95
وَحَرَٰمٌ عَلَىٰ قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَـٰهَآ أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ
Sungguh tidak mungkin atas (penduduk) suatu negeri yang telah Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali (kepada Kami).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa penduduk sebuah negeri yang telah dibinasakan-Nya disebabkan dosa-dosa mereka pasti akan dikembalikan kepada-Nya pada Hari Kiamat untuk menghadapi perhitungan dan mendapatkan pembalasan.
Ayat 96
حَتَّىٰٓ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍۢ يَنسِلُونَ
Hingga apabila dibukakan (tembok) Ya’juj dan Ma’juj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi.
Ya’juj dan Ma’juj adalah keturunan Nabi Adam as dan termasuk dalam keturunan Nabi Nuh as. Mereka ini dibiarkan hidup di balik tembok penghalang yang didirikan oleh Zulkarnain seperti firman Allah Swt:
“Zulqarnain berkata, ‘(Dinding) ini adalah rahmat daripada Rabbku, maka apabila janji Rabbku sudah datang, Dia akan menghancurluluhkannya, dan janji Rabbku itu benar.’ Dan pada hari itu Kami biarkan mereka (Ya’juj dan Ma’juj) bercampur antara satu sama lain……..”
Al-Kahfi 18:98-99
Abbas ra, ‘Ikrimah, Abu Salih, Ath-Thauri dan lain-lain mengatakan ketika tembok penghalang terbuka, Ya’juj dan Ma’juj ini akan keluar dan akan berjalan dengan cepat untuk membuat kerosakan atas muka bumi.
Ini merupakan penjelasan daripada Rabb Yang Maha Mengetahui tentang apa yang telah terjadi dan akan terjadi, yang mengetahui rahsia langit dan bumi, tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar selain Allah Swt. Firman-Nya yang lain:
“………Dan tidak ada yang dapat memberikan keterangan kepadamu seperti yang diberikan oleh (Allah) Yang Maha Teliti.”
Fatir 35:14
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada ‘Ubaidullah bin Abi Yazid bahawa dia mengatakan, “Ibnu ‘Abbas ra melihat anak-anak kecil sedang berkejar-kejaran semasa bermain. Lalu beliau mengatakan, ‘Seperti itulah keadaan Ya’juj dan Ma’juj ketika mereka keluar.’”
Terdapat beberapa hadis yang panjang dalam Kitab Tafsir Sahih Ibnu Kathir yang menyebut tentang keluarnya Ya’juj dan Ma’juj ini.
Ayat 97
وَٱقْتَرَبَ ٱلْوَعْدُ ٱلْحَقُّ فَإِذَا هِىَ شَـٰخِصَةٌ أَبْصَـٰرُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يَـٰوَيْلَنَا قَدْ كُنَّا فِى غَفْلَةٍ مِّنْ هَـٰذَا بَلْ كُنَّا ظَـٰلِمِينَ
Dan telah dekatlah kedatangan janji yang benar (hari berbangkit), maka tiba-tiba terbeliaklah mata orang-orang kafir. (Mereka berkata), “Aduhai celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian tentang ini, bahkan kami adalah orang-orang yang zalim.”
Hari berbangkit yang dimaksudkan ini ialah Hari Kiamat. Apabila telah terjadi pelbagai kegoncangan, kejadian yang mengerikan dan kekacauan, bererti Kiamat sudah hampir. Jika telah terjadi, orang-orang kafir akan sedar dan mereka akan katakan seperti dalam firman Allah Swt:
“………..Ini adalah hari yang sulit.”
Al-Qamar 54:8
Mata orang-orang kafir akan terbeliak kerana menyaksikan pelbagai keadaan yang sangat mengerikan pada hari tersebut. Mereka mengatakan betapa celakanya mereka dan mengakui kezaliman mereka ketika di dunia tetapi pada ketika itu pengakuan itu tidak lagi bermanfaat.