Kisah Nabi Ismail as, Nabi Idris as dan Nabi Zulkifli as
Surah 21: Al-Anbiya’ (85 – 86)
Ayat 85
وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا ٱلْكِفْلِ ۖ كُلٌّ مِّنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Zulkifli. Mereka semua termasuk orang-orang yang sabar.
Ayat 86
وَأَدْخَلْنَـٰهُمْ فِى رَحْمَتِنَآ ۖ إِنَّهُم مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Kami telah masukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh.
Kami telah masukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Ismail as, Nabi Idris as dan Nabi Zulkifli as adalah termasuk orang-orang yang sabar dan mengharapkan pahala dari sisi-Nya. Mereka tabah dalam menghadapi ujian dan musibah serta sabar dalam menjalankan ketaatan dan larangan-Nya. Oleh itu, mereka termasuk orang-orang yang mendapat rahmat Allah Ta’ala kerana kesolehan mereka.
Nabi Ismail as adalah putera Nabi Ibrahim as. Kisah baginda dinyatakan dalam firman Allah Swt:
“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kisah Ismail (yang tersebut) di dalam kitab (Al-Quran). Sesungguhnya dia adalah benar-benar seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang Rasul dan Nabi.”
Maryam 19:54
Manakala kisah Nabi Idris as ada dinyatakan dalam firman Allah Swt:
“Dan ceritakanlah (Muhammad), kisah Idris di dalam kitab (Al-Quran). Sesungguhnya dia seorang yang sangat mencintai kebenaran dan seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.”
Maryam 19:56-57
Nabi Zulkifli as pula dikatakan seorang Nabi dan ada juga berpendapat baginda adalah seorang yang soleh, raja dan hakim yang adil. Ibnu Jarir bertawaquf (tidak memberikan pendapat) tentang hal ini.