Surah 21: Al-Anbiya’ (76 – 77)

Kisah Nabi Nuh as dan Kaumnya

Surah 21: Al-Anbiya’ (76 – 77)


Ayat 76

وَنُوحًا إِذْ نَادَىٰ مِن قَبْلُ فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ فَنَجَّيْنَـٰهُ وَأَهْلَهُۥ مِنَ ٱلْكَرْبِ ٱلْعَظِيمِ

Dan (ingatlah kisah) Nuh sebelum itu, ketika dia berdoa dan Kami memperkenankan doanya, lalu Kami selamatkan dia berserta pengikutnya daripada bencana yang besar.

Allah Swt menyatakan bahawa Nabi Nuh as telah berdoa untuk kebinasaan kaumnya disebabkan mereka mendustakannya. Firman-firman-Nya:

“Maka dia (Nuh) mengadu kepada Rabbnya, ‘Sesungguhnya aku telah dikalahkan, maka tolonglah (aku).’”

Al-Qamar 54:10

“Dan Nuh berkata, ‘Wahai Rabbku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka hanya akan melahirkan anak-anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.’”

Nuh 71:26-27

Kemudian Allah Ta’ala memperkenankan doa Nabi Nuh as dengan menyelamatkannya berserta para pengikutnya yang beriman sepertimana dalam firman-Nya:

“…………….Kami berfirman, ‘Muatkanlah ke dalam bahtera itu masing-masing binatang sepasang (jantan dan betina), dan keluargamu kecuali orang yang telah terdahulu ketetapan terhadapnya dan (muatkan pula) orang-orang yang beriman. Dan tidak beriman bersama dengan Nuh itu kecuali sedikit.’”

Hud 11:40

Maksud “Daripada bencana yang besar,” ialah daripada keadaan yang sempit disebabkan oleh pendustaan dan gangguan yang diterima daripada kaumnya. Nabi Nuh as tinggal bersama dengan kaumnya selama 950 tahun, sambil terus-menerus menyeru mereka kepada Allah Swt, namun tiada yang beriman kecuali sedikit. Mereka melawan dan menyakitinya serta berpesan kepada generasi mereka seterusnya agar memerangi baginda.

Ayat 77

وَنَصَرْنَـٰهُ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمَ سَوْءٍ فَأَغْرَقْنَـٰهُمْ أَجْمَعِينَ

Dan Kami telah menolongnya daripada kaum yang telah mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat, maka Kami tenggelamkan mereka semuanya.

Allah Swt memberi kemenangan kepada Nabi Nuh as terhadap kaumnya. Dia menyelamatkannya dengan membinasakan kaumnya secara menyeluruh sehingga tidak tersisa seorang pun di antara mereka di atas muka bumi ini.