Surah 21: Al-Anbiya’ (71 – 75)

Penghijrahan Nabi Ibrahim as ke Syam Disertai oleh Nabi Lut as dan Wahyu Allah Swt kepada Mereka

Surah 21: Al-Anbiya’ (71 – 75)


Ayat 71

وَنَجَّيْنَـٰهُ وَلُوطًا إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا لِلْعَـٰلَمِينَ

Dan Kami selamatkan dia (Ibrahim) dan Lut ke sebuah negeri yang telah Kami berkati untuk seluruh alam.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menyelamatkan Nabi Ibrahim as dan Nabi Lut as yang telah beriman dengan-Nya dari negeri Iraq, dan Dia mengarahkan mereka berdua menuju ke negeri Syam yang telah diberkahi buminya dengan kebaikan yang melimpah dan kebanyakan nabi pernah diutus di sana.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menyelamatkan Nabi Ibrahim as daripada dibakar oleh kaumnya. Kemudian Dia mengeluarkan baginda dan Nabi Lut as daripada kalangan mereka dengan berhijrah ke negeri Syam, sebuah negeri yang disucikan sebahagiannya (dan sebahagian yang disucikan itu) adalah Baitul Maqdis.

Ayat 72

وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ نَافِلَةً ۖ وَكُلًّا جَعَلْنَا صَـٰلِحِينَ

Dan Kami telah memberikan kepadanya (Ibrahim) Ishak dan Yaakub, sebagai suatu anugerah (daripada Kami). Dan masing-masing Kami jadikan orang-orang yang soleh.

‘Atha’ dan Mujahid mengatakan maksud نَافِلَةً dalam ayat ini ialah pemberian. Ibnu ‘Abbas ra, Qatadah dan Al-Hakim bin ‘Uyainah mengatakan, maksudnya ialah cucu Nabi Ibrahim as, iaitu Nabi Yaakub as putera Nabi Ishak as, sebagaimana firman-Nya:

“…………….Maka Kami sampaikan kepadanya khabar gembira tentang (kelahiran) Ishak dan setelah Ishak (akan lahir) Yaakub.”

Hud 11:71

‘Abdurrahman bin Zaid bin Aslam mengatakan bahawa Nabi Ibrahim as meminta seorang putera dengan berdoa seperti firman-Nya:

“Wahai Rabbku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.”

As-Saffat 37:100

Maka Allah Ta’ala memberinya seorang putera bernama Nabi Ishak as kemudian diikuti dengan Nabi Yaakub as, putera Nabi Ishak as sebagai suatu anugerah daripada-Nya. Dia juga menjadikan mereka orang-orang yang baik dan soleh.

Ayat 73

وَجَعَلْنَـٰهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِمْ فِعْلَ ٱلْخَيْرَٰتِ وَإِقَامَ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءَ ٱلزَّكَوٰةِ ۖ وَكَانُوا۟ لَنَا عَـٰبِدِينَ

Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami dan telah wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, mendirikan solat, menunaikan zakat dan hanya kepada Kami-lah mereka selalu menyembah.

Allah Swt menjelaskan bahawa Dia menjadikan Nabi Ibrahim as, Nabi Ishak as dan Nabi Yaakub as sebagai teladan yang baik bagi sekalian manusia. Mereka menyeru manusia untuk beribadah dan taat kepada-Nya. Mereka juga melakukan kebaikan-kebaikan berupa mengamalkan ajaran-ajaran para Nabi, mendirikan solat, dan membayar zakat. Ini menjadikan mereka orang-orang yang patuh dan taat semata-mata kepada-Nya bukan kepada selain-Nya.

Ayat 74

وَلُوطًا ءَاتَيْنَـٰهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَنَجَّيْنَـٰهُ مِنَ ٱلْقَرْيَةِ ٱلَّتِى كَانَت تَّعْمَلُ ٱلْخَبَـٰٓئِثَ ۗ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمَ سَوْءٍۢ فَـٰسِقِينَ

Dan kepada Lut, Kami telah berikan hikmah dan ilmu, dan telah Kami selamatkan dia daripada (azab yang telah menimpa penduduk) kota yang mengerjakan perbuatan keji. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat lagi fasik.

Ayat 75

وَأَدْخَلْنَـٰهُ فِى رَحْمَتِنَآ ۖ إِنَّهُۥ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Dan Kami masukkan dia ke dalam rahmat Kami, kerana sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang soleh.

Setelah Allah Swt menyebutkan limpah kurniaan-Nya kepada Nabi Ibrahim as, Dia menyebutkan pula limpah kurniaan-Nya kepada Nabi Lut as, iaitu:

1)   Kemahiran dalam menetapkan hukum ketika menyelesaikan perselisihan antara orang-orang yang bertikai tentang sesuatu perkara sehingga keputusan yang diambil dapat diselesaikan dengan baik.

2)  Ilmu berkaitan dengan agama dan kewajipan terhadap Allah Swt yang mesti ditaati dan dijauhi.

3)  Menjauhkan baginda dari Negeri Sodom dan menyelamatkannya daripada bencana yang ditimpakan-Nya kepada kaumnya yang jahat lagi fasik serta melakukan perbuatan mungkar.

4)  Memasukkan baginda ke dalam golongan orang-orang yang diberikan rahmat-Nya kerana baginda termasuk dalam kalangan orang-orang soleh.