Surah 21: Al-Anbiya’ (48 – 50)

Kitab Taurat dan Al-Quran diturunkan oleh Allah Swt untuk Memberi Petunjuk

Surah 21: Al-Anbiya’ (48 – 50)


Ayat 48

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ ٱلْفُرْقَانَ وَضِيَآءً وَذِكْرًا لِّلْمُتَّقِينَ

Dan sungguh, Kami telah memberikan kepada Musa dan Harun, Al-Furqan (kitab Taurat) dan penerangan serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.

Mujahid dan Abu Salih mengatakan maksud “Al-Furqan” dalam ayat ini ialah kitab Taurat. Qatadah mengatakan, maksudnya ialah Taurat yang mengandungi perkara-perkara yang dihalalkan dan diharamkan-Nya, serta perkara-perkara yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Allah Ta’ala banyak menggandingkan penyebutan Nabi Musa as dan Nabi Muhammmad saw, serta dua kitab masing-masing iaitu Taurat dan Al-Quran.

Kedua-dua kitab yang diturunkan dari langit ini mengandungi perbezaan antara kebenaran dan kebatilan, petunjuk dan kesesatan, penyimpangan dan jalan yang lurus, halal dan haram serta perkara-perkara yang dapat memberikan cahaya di dalam hati seperti petunjuk, insaf, khusyuk dan takut. Oleh itu, Al-Quran dan Taurat ini merupakan peringatan dan nasihat bagi orang-orang yang bertakwa.

Ayat 49

ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُم بِٱلْغَيْبِ وَهُم مِّنَ ٱلسَّاعَةِ مُشْفِقُونَ

(Iaitu) Orang-orang yang takut (azab) Rabbnya, sekalipun mereka tidak melihat-Nya, dan mereka berasa takut akan (tibanya) Hari Kiamat.

Sifat-sifat orang yang bertakwa yang disebutkan dalam ayat ini ialah:

▪️    Takut kepada seksaan Rabbnya, padahal dia tidak melihat-Nya. Ini sebagaimana firman-firman Allah Swt:

“(Iaitu) orang yang takut kepada Allah Yang Maha Pengasih, sekali pun tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat.”

Qaf 50:33

“Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Rabbnya yang tidak terlihat oleh mereka, mereka memperoleh keampunan dan pahala yang besar.”

Al-Mulk 67:12

▪️    Takut kepada Hari Kiamat iaitu takut kepada pelbagai kegemparan pada hari tersebut dan juga takut kepada azab Allah Swt.

Oleh itu, disebabkan takut kepada azab Allah Ta’ala mereka pun istiqamah menjalankan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya di kala sepi, ketika bersendirian atau ketika tidak ada seorang pun melihat dan mengetahui perbuatan mereka.

Ayat 50

وَهَـٰذَا ذِكْرٌ مُّبَارَكٌ أَنزَلْنَـٰهُ ۚ أَفَأَنتُمْ لَهُۥ مُنكِرُونَ

Dan inilah peringatan (Al-Quran) yang berkat yang telah Kami turunkan. Maka adakah kamu hendak mengingkarinya?

Sebagaimana kriteria kitab Taurat, demikian pula kriteria Al-Quran yang diturunkan oleh Allah Ta’ala kepada Nabi Muhammad saw. Al-Quran merupakan pelajaran, nasihat dan diberkati dengan banyaknya manfaat dan melimpahnya kebaikan.

Kitab suci Al-Quran juga merupakan mukjizat kerana susunan bahasa yang menakjubkan dan kefasihan yang luar biasa serta di dalamnya terdapat dalil-dalil aqli dan keterangan tentang hukum-hukum syariat. Lalu bagaimana mungkin orang-orang kafir Quraisy tetap mengingkari jika ia diturunkan dari sisi Allah Ta’ala sedangkan mereka adalah orang yang paling pakar dalam menilai keindahan perkataan, kefasihan bahasa dan susunan kata yang menakjubkan.

Sesungguhnya Al-Quran Al-‘Azim tidak mengandungi kebatilan di dalamnya, diturunkan oleh Rabb yang Maha Bijaksana dan Maha Terpuji, juga memberi keberkatan kepada sesiapa sahaja yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya. Keajaiban, rahsia-rahsia dan hakikat kandungannya tidak akan terungkap sepenuhnya oleh manusia.