Penetapan tentang Neraca Timbangan pada Hari Kiamat
Surah 21: Al-Anbiya’ (47)
Ayat 47
وَنَضَعُ ٱلْمَوَٰزِينَ ٱلْقِسْطَ لِيَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْـًٔا ۖ وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا ۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَـٰسِبِينَ
Dan Kami akan memasang timbangan yang tepat pada Hari Kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa di akhirat nanti, Dia akan memasang timbangan-timbangan yang adil dan tidak ada sesiapa pun yang akan dizalimi sepertimana firman-firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebajikan (sekecil zarah), nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan pahala yang besar dari sisi-Nya.”
An-Nisa’ 4:40
“(Luqman berkata) Wahai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”
Luqman 31:16
Daripada ‘Aisyah ra, dia berkata bahawa seorang sahabat Rasulullah saw duduk di hadapan baginda lalu berkata, “Wahai Rasulullah, aku memiliki hamba-hamba yang mendustakanku, mengkhianatiku dan menentangku sehingga aku pun memukul dan mencaci mereka. Bagaimana nasibku di sisi Allah kerana perbuatanku terhadap mereka?” Rasulullah saw bersabda kepadanya:
“Akan dihitung (di akhirat) pengkhianatan mereka kepadamu, juga penentangan dan pendustaan terhadapmu, serta (dihitung pula) hukumanmu terhadap mereka. Jika hukumanmu kepada mereka sesuai dengan kadar dosa-dosa (kesalahan) mereka, maka itu setimpal, ertinya kamu tidak mendapatkan pahala juga tidak terkena dosa. Jika hukumanmu terhadap mereka kurang daripada kadar dosa-dosa mereka, maka itu adalah keutamaan bagimu. Dan jika hukumanmu terhadap mereka melebihi dosa-dosa mereka, maka dikurangilah daripadamu untuk pahala yang masih tersisa padamu.” Kemudian lelaki itu menangis tersedu-sedu di hadapan baginda, lalu baginda bersabda:
“Mengapa dia tidak membaca firman Allah Ta’ala, ‘Dan Kami akan memasang timbangan yang tepat pada Hari Kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.’” Maka lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah, aku tidak mendapati sesuatu pun yang lebih baik, kecuali mesti berpisah dengan mereka (hamba-hamba). Aku menjadikannya sebagai saksi, bahawa mereka semua merdeka.”
(HR. Ahmad dan At-Tirmizi)