Surah 21: Al-Anbiya’ (34 – 35)

Tiap-tiap Berjiwa akan Merasakan Mati

Surah 21: Al-Anbiya’ (34 – 35)


Ayat 34

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ ٱلْخُلْدَ ۖ أَفَإِي۟ن مِّتَّ فَهُمُ ٱلْخَـٰلِدُونَ

Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelummu (Muhammad), maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal?

Allah Ta’ala menafikan kekalnya kehidupan di dunia bagi setiap makhluk yang ada. Dia telah menetapkan bahawa manusia tidak akan kekal di dunia. Firman-Nya:

“Semua yang ada di bumi itu akan binasa, dan wajah Rabbmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal.”

Ar-Rahman 55:26-27

Ayat 35

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Tiap-tiap berjiwa akan merasakan mati. Kami akan mengujimu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami-lah kamu dikembalikan.

Kemudian Allah Ta’ala menegaskan lagi kenyataan-Nya pada ayat yang lepas bahawa setiap makhluk-Nya yang bernyawa pasti akan mati, biarpun berapa lama dia hidup di dunia ini.

Allah Ta’ala juga menyatakan semasa hidup, manusia itu diuji dengan pelbagai perkara. Adakalanya mereka diuji dengan ditimpakan musibah dan adakalanya dengan diberikan kenikmatan kepada mereka. Dia menguji mereka agar dapat mengetahui siapa yang bersabar, siapa yang berputus asa dan siapa pula yang bersyukur ataupun ingkar.

Allah Ta’ala akan memberikan balasan kepada mereka ketika dikembalikan kepada-Nya di akhirat dengan balasan yang setimpal dengan amalan yang mereka lakukan.