Surah 21: Al-Anbiya’ (26 – 29)

Sanggahan terhadap Orang yang Menyatakan Para Malaikat adalah Anak Perempuan Allah Swt

Surah 21: Al-Anbiya’ (26 – 29)


Ayat 26

وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَلَدًا ۗ سُبْحَـٰنَهُۥ ۚ بَلْ عِبَادٌ مُّكْرَمُونَ

Dan mereka berkata, “Rabb Yang Maha Pemurah telah mengambil (mempunyai) anak,” Maha Suci Allah. Sebenarnya (para malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan.

Ayat 27

لَا يَسْبِقُونَهُۥ بِٱلْقَوْلِ وَهُم بِأَمْرِهِۦ يَعْمَلُونَ

Mereka itu tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah-Nya.

Ayat 28

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ٱرْتَضَىٰ وَهُم مِّنْ خَشْيَتِهِۦ مُشْفِقُونَ

Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka (malaikat) dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang-orang yang diredhai (Allah), dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.

Setelah Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia Maha Suci daripada apa yang mereka sekutukan, dalam ayat 26-28 ini pula Dia membantah dan menegaskan bahawa Dia Maha Suci daripada memiliki anak. Ini kerana sebahagian daripada kalangan orang-orang Arab mengatakan bahawa malaikat adalah anak perempuan Allah Ta’ala.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa para malaikat ini bukanlah anak perempuan-Nya, malah mereka adalah hamba ciptaan-Nya yang memiliki kedudukan istimewa di sisi-Nya. Antara sifat-sifat para malaikat ialah:

▪️    Mereka tidak berbicara melainkan sesuai dengan apa yang diperintahkan-Nya, tidak menentang malah bersegera dalam melaksanakan perintah-Nya.

▪️    Mereka tidak berani memberikan syafaat melainkan setelah mendapat keizinan Allah Ta’ala dan hanya kepada orang yang Dia redhai serta layak mendapatkannya. Firman-firman-Nya:

“………Tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya….”

Al-Baqarah 2:255

“Dan tidaklah berguna syafaat di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya (memperoleh syafaat itu)……”

Saba’ 34:23

▪️    Mereka sentiasa takut dan malu kepada Allah Ta’ala serta menyedari akan pengawasan-Nya terhadap mereka.

Ayat 29

وَمَن يَقُلْ مِنْهُمْ إِنِّىٓ إِلَـٰهٌ مِّن دُونِهِۦ فَذَٰلِكَ نَجْزِيهِ جَهَنَّمَ ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan sesiapa di antara mereka mengatakan, “Sesungguhnya aku adalah ilah (sesembahan) selain Allah,” maka orang itu Kami beri balasan dengan Jahannam, demikian Kami memberi balasan kepada orang-orang zalim.

Setelah Allah Ta’ala menerangkan bahawa para malaikat tidak berhak disembah, dalam ayat ini Dia menerangkan pula bahawa sekiranya ada di antara para malaikat itu yang berani mengatakan bahawa dirinya adalah ilah di samping Allah Swt, pasti Dia akan membalas perkataannya itu dengan memasukkannya ke Neraka Jahannam. Begitulah juga balasan kepada orang-orang yang zalim disebabkan kesyirikan dan kemaksiatan mereka.

Maka dengan demikian gugurlah dakwaan mereka yang menganggap bahawa para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah Swt dan akan memberikan syafaat kepada mereka di sisi-Nya.