Peringatan Allah Swt akan Dekatnya Kiamat
Surah 21: Al-Anbiya’ (1 – 6)
Ayat 1
ٱقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِى غَفْلَةٍ مُّعْرِضُونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).
Ayat ini merupakan peringatan daripada Allah Swt bahawa Kiamat sudah semakin hampir tetapi manusia masih berada dalam kelalaian. Mereka tidak mempersiapkan diri dengan bekalan yang cukup untuk menghadapi hari tersebut.
Ayat ini juga merupakan dalil yang menunjukkan bahawa telah dekatnya Kiamat. Rasulullah saw bersabda:
“Aku diutus, sedangkan waktu kedatangan Hari Kiamat adalah seperti ini (sambil mengisyaratkan dengan kedua jari baginda, iaitu jari telunjuk dan jari tengah).”
(HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan At-Tarmizi)
Ayat 2
مَا يَأْتِيهِم مِّن ذِكْرٍ مِّن رَّبِّهِم مُّحْدَثٍ إِلَّا ٱسْتَمَعُوهُ وَهُمْ يَلْعَبُونَ
Tidak datang kepada mereka suatu ayat Al-Quran pun yang baru (diturunkan) daripada Rabb mereka, melainkan mereka mendengarnya, sedang mereka bermain-main.
Ayat 3
لَاهِيَةً قُلُوبُهُمْ ۗ وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّجْوَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ هَلْ هَـٰذَآ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ ۖ أَفَتَأْتُونَ ٱلسِّحْرَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ
(Lagi) Hati mereka dalam keadaan lalai, dan mereka yang zalim itu merahsiakan pembicaraan mereka, “Orang ini tidak lain hanyalah seorang manusia (juga) seperti kamu, maka apakah kamu menerima sihir itu, padahal kamu menyaksikannya?”
Allah Ta’ala menyatakan orang-orang kafir Quraisy dan orang-orang yang seperti mereka tidak memerhatikan wahyu (Al-Quran) yang baru diturunkan-Nya. Mereka mendengar tetapi mengabaikan, mengejek dan mengolok-olokkannya. Hati dan fikiran mereka dalam keadaan lalai, tidak mahu merenungi serta memahami makna yang terkandung di dalamnya.
Mereka berbisik-bisik sesama mereka tentang kedudukan Nabi Muhammad saw. Mereka beranggapan tidak mungkin baginda saw itu seorang Nabi dan dikhususkan pula menerima wahyu sedangkan baginda merupakan manusia biasa seperti mereka.
Ayat 4
قَالَ رَبِّى يَعْلَمُ ٱلْقَوْلَ فِى ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Berkatalah Muhammad (kepada mereka), “Rabbku mengetahui semua perkataan di langit dan di bumi dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Lalu Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw memberitahu kaumnya bahawa Dia Maha Mengetahui segala perkataan yang mereka cuba sembunyikan. Dia-lah yang menurunkan Al-Quran yang merangkumi berita orang-orang terdahulu dan yang kemudian, yang tidak ada sesiapa pun yang mampu mendatangkan seperti itu kecuali Yang Mengetahui rahsia langit dan bumi.
Ayat 5
بَلْ قَالُوٓا۟ أَضْغَـٰثُ أَحْلَـٰمٍ بَلِ ٱفْتَرَىٰهُ بَلْ هُوَ شَاعِرٌ فَلْيَأْتِنَا بِـَٔايَةٍ كَمَآ أُرْسِلَ ٱلْأَوَّلُونَ
Bahkan mereka berkata (pula), “(Al-Quran itu adalah) mimpi-mimpi yang karut, malah diada-adakannya, bahkan Dia sendiri seorang penyair, maka hendaknya dia mendatangkan kepada kita suatu mukjizat, sebagaimana Rasul-rasul yang telah lalu diutus.”
Allah Ta’ala menyatakan kebingungan dan kebimbangan orang-orang kafir Quraisy dalam memandang dan menggambarkan Nabi Muhammad saw dan Al-Quran dengan gambaran dan pandangan paling buruk. Mereka mengatakan baginda adalah penyihir dan Al-Quran adalah sihir, syair, kekacauan seperti mimpi-mimpi yang bercampur aduk dalam tidur dan kadang-kadang mereka mengatakan Al-Quran itu adalah hasil rekaan baginda saw. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Lihatlah bagaimana mereka membuat perumpamaan-perumpamaan untukmu (Muhammad), oleh itu mereka menjadi sesat dan tidak dapat lagi menemukan jalan (yang benar).”
Al-Isra’ 17:48
Kemudian mereka meminta didatangkan tanda-tanda yang menjadi bukti kebenaran kenabian Rasulullah saw seperti mukjizat yang dimiliki oleh Nabi Musa as berupa tongkat dan tangannya, mukjizat unta betina Nabi Saleh as dan mukjizat Nabi Isa as yang diberikan kelebihannya menghidupkan kembali orang yang telah mati, menyembuhkan orang yang buta sejak lahir dan menyembuhkan orang yang menderita kusta.
Sesungguhnya permintaan mereka merupakan sesuatu yang akan menyusahkan mereka, sedangkan Allah Ta’ala telah memberi mereka bukti dan hujjah yang cukup lagi jelas.
Ayat 6
مَآ ءَامَنَتْ قَبْلَهُم مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَـٰهَآ ۖ أَفَهُمْ يُؤْمِنُونَ
Tidak ada (penduduk) suatu negeri pun yang beriman yang Kami telah binasakannya sebeIum mereka. Maka apakah mereka akan beriman?
Allah Ta’ala memberitahu bahawa Dia mengutuskan Rasul-rasul berserta mukjizat masing-masing kepada setiap penduduk negeri. Namun mereka selalu mendustakan mukjizat tersebut. Akhirnya Dia membinasakan mereka disebabkan perbuatan mereka.
Seterusnya, Allah Ta’ala bertanya adakah orang-orang kafir Quraisy itu akan percaya sekiranya diturunkan mukjizat dan mereka melihatnya, padahal orang-orang terdahulu tidak mempercayainya sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang yang telah dipastikan mendapat ketetapan Rabbmu tidaklah akan beriman, meskipun mereka mendapat tanda-tanda (kebesaran Allah), hingga mereka menyaksikan azab yang pedih.”
Yunus 10:96-97
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa mukjizat-mukjizat Nabi Muhammad saw seperti Al-Quran, tanda-tanda yang menakjubkan, hujjah-hujjah yang tidak dapat disangkal dan petunjuk-petunjuk melalui tangan baginda, kesemuanya sangatlah jelas dan meyakinkan daripada mukjizat Nabi-nabi yang lain. Semoga selawat dan salam tercurah kepada mereka semua. Allahumma aamiin!