Surah 20: Taha (99 – 101)

Al-Quran adalah Peringatan yang Menyeluruh

Surah 20: Taha (99 – 101)


Ayat 99

كَذَٰلِكَ نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنۢبَآءِ مَا قَدْ سَبَقَ ۚ وَقَدْ ءَاتَيْنَـٰكَ مِن لَّدُنَّا ذِكْرًا

Demikianlah Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) sebahagian kisah (umat) yang telah lalu, dan sungguh, telah Kami berikan kepadamu suatu peringatan (Al-Quran) dari sisi Kami.

Allah Swt memberitahu bahawa sebagaimana yang Dia telah ceritakan kepada Rasulullah saw berita tentang Nabi Musa as bersama-sama Firaun dan bala tentaranya secara jelas serta benar-benar terjadi, Dia juga menceritakan kisah-kisah lain yang terdahulu tanpa penambahan dan pengurangan.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa semua kisah yang diberitakan di dalam Al-Quran itu merupakan peringatan daripada-Nya. Al-Quran tidak mengandungi kebatilan dan ia diturunkan oleh Rabb Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji, tidak ada seorang Nabi pun sejak pertama diutus hingga ditutup dengan Nabi Muhammad saw yang diberikan kitab seperti Al-Quran ini. Al-Quran juga merupakan kitab yang lebih sempurna, lebih jelas dan lebih lengkap tentang berita yang telah lalu dan yang akan terjadi serta ketetapan hukum yang menyelesaikan urusan antara manusia.

Ayat 100

مَّنْ أَعْرَضَ عَنْهُ فَإِنَّهُۥ يَحْمِلُ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ وِزْرًا

Sesiapa berpaling daripadanya (Al-Quran), maka sesungguhnya dia akan memikul beban yang berat (dosa) pada Hari Kiamat.

Ayat 101

خَـٰلِدِينَ فِيهِ ۖ وَسَآءَ لَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ حِمْلًا

Mereka kekal di dalam keadaan itu. Dan sungguh buruk beban dosa itu bagi mereka pada Hari Kiamat.

Oleh itu, Allah Swt memberi amaran bahawa sesiapa yang mendustakan dan berpaling daripada Al-Quran, Dia akan menyesatkan dan mengarahkannya ke neraka. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“………….Dan sesiapa di antara mereka (orang-orang Quraisy) dan sekutu-sekutunya yang kafir kepada Al-Quran, maka nerakalah tempat yang diancamkan baginya…………”

Hud 11:17