Surah 20: Taha (24 – 37)

Persediaan Bertemu dengan Firaun

Surah 20: Taha (24 – 37)


Ayat 24

ٱذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ

Pergilah kepada Firaun, dia telah benar-benar melampaui batas.”

Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as pergi menemui Firaun, raja Mesir yang suatu ketika dahulu baginda pernah mengelak dan melarikan diri daripadanya. Ini merupakan arahan-Nya agar baginda menyampaikan seruan beribadah hanya kepada-Nya Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya.

Allah Ta’ala juga memerintahkan Nabi Musa as menyeru Firaun agar berbuat baik terhadap Bani Israil dan tidak menyeksa mereka. Ini kerana Firaun telah melampaui batas dan mementingkan kehidupan dunia sehingga melupakan Rabb Yang Maha Tinggi.

Ayat 25

قَالَ رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِى

Berkata Musa, “Wahai Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku.

Ayat 26

وَيَسِّرْ لِىٓ أَمْرِى

Dan mudahkanlah untukku urusanku.

Ayat 27

وَٱحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِى

Dan lepaskanlah kekakuan lidahku.

Ayat 28

يَفْقَهُوا۟ قَوْلِى

Supaya mereka mengerti perkataanku.

Ayat 29

وَٱجْعَل لِّى وَزِيرًا مِّنْ أَهْلِى

Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku.

Ayat 30

هَـٰرُونَ أَخِى

(Iaitu) Harun saudaraku.

Ayat 31

ٱشْدُدْ بِهِۦٓ أَزْرِى

Teguhkanlah dengan dia kekuatanku.

Ayat 32

وَأَشْرِكْهُ فِىٓ أَمْرِى

Dan jadikanlah dia teman dalam urusanku.

Ayat 33

كَىْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا

Supaya kami banyak bertasbih kepada-Mu.

Ayat 34

وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا

Dan banyak mengingati-Mu.

Ayat 35

إِنَّكَ كُنتَ بِنَا بَصِيرًا

Sesungguhnya Engkau adalah Maha Melihat (keadaan) kami.”

Ayat 25-35 merupakan doa permohonan daripada Nabi Musa as kepada Rabbnya agar melapangkan dadanya kerana baginda akan melaksanakan tugas yang berat dan berisiko tinggi.

Hal ini adalah disebabkan Allah Ta’ala mengutuskan Nabi Musa as kepada raja yang paling berpengaruh, paling bengis, sombong, kufur dan paling ramai angkatan tenteranya di muka bumi pada ketika itu. Firaun mempunyai kerajaan yang paling makmur ketika itu. Oleh itu, Firaun mengaku tidak mengenali Allah Swt dan memaksa rakyatnya bertuhankan dirinya.

Nabi Musa as pernah tinggal di rumah Firaun ketika masih bayi dan membesar di bawah pengasuhannya. Kemudian baginda dengan tidak sengaja membunuh seorang di antara mereka dan berasa takut akan dibunuh oleh mereka, maka baginda melarikan diri dari Mesir dan tidak pernah kembali.

Kini Nabi Musa as diutus oleh Allah Ta’ala untuk memberi peringatan dan menyeru mereka kepada Allah Swt agar menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya. Oleh itu, baginda memohon agar dilapangkan dadanya dan dipermudahkan urusannya.

Nabi Musa as mengalami masalah sukar berbicara kerana ketika masih kecil, baginda diberi pilihan sama ada memilih kurma atau bara api. Baginda mengambil bara api lalu memasukkannya ke dalam mulutnya, menyebabkan baginda tidak boleh bertutur dengan fasih. Oleh itu, baginda memohon agar Allah Ta’ala menjadikan percakapannya lancar supaya orang-orang yang mendengarnya mudah memahaminya. Firaun pernah mengejek Nabi Musa as sebagaimana firman-Nya:

“Bukankah aku lebih baik daripada orang (Musa) yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?”

Az-Zukhruf 43:52

Nabi Musa as juga memohon kepada Allah Swt agar saudaranya, Nabi Harun as menjadi pembantunya dalam memberikan pendapat kepadanya.

Ath-Thauri menceritakan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan, Nabi Harun as diangkat menjadi Nabi pada saat itu, iaitu ketika Nabi Musa as diangkat menjadi Nabi.

Mujahid mengatakan maksud ayat, “Supaya kami banyak bertasbih kepada-Mu dan banyak mengingati-Mu.” ialah seorang hamba tidak termasuk orang-orang yang ingat kepada Allah Swt sehingga dia mengingati-Nya baik dalam keadaan berdiri, duduk, mahupun berbaring.

Nabi Musa as memuji Allah Swt bahawa Dia Maha Melihat keadaan Nabi Musa as dan Nabi Harun as dalam pemilihan-Nya dan penganugerahan kenabian kepada mereka berdua serta seterusnya mengutuskan mereka berdua kepada Firaun.

Ayat 36

قَالَ قَدْ أُوتِيتَ سُؤْلَكَ يَـٰمُوسَىٰ

(Allah) berfirman, “Sesungguhnya telah diperkenankan permintaanmu, wahai Musa.

Ayat 37

وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَيْكَ مَرَّةً أُخْرَىٰٓ

Dan sesungguhnya Kami telah memberi nikmat kepadamu pada kali yang lain.

Ini merupakan jawapan Allah Swt kepada Nabi Musa as atas permintaan baginda kepada Rabbnya. Dia mengabulkan doanya dan mengingatkannya terhadap nikmat-nikmat yang telah Dia limpahkan kepadanya.