Nabi Musa as Diberikan Wahyu
Surah 20: Taha (9 – 16)
Ayat 9
وَهَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ مُوسَىٰٓ
Dan apakah telah sampai kepadamu kisah Musa?
Ayat 10
إِذْ رَءَا نَارًا فَقَالَ لِأَهْلِهِ ٱمْكُثُوٓا۟ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا لَّعَلِّىٓ ءَاتِيكُم مِّنْهَا بِقَبَسٍ أَوْ أَجِدُ عَلَى ٱلنَّارِ هُدًى
Ketika dia (Musa) melihat api, lalu dia berkata kepada keluarganya, “Tinggallah kamu (di sini), sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa sedikit nyala api kepadamu atau aku akan mendapat petunjuk di tempat api itu.”
Ayat ini menceritakan bagaimana permulaan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Musa as serta pembicaraan Allah Swt dengan baginda secara langsung.
Hal itu terjadi setelah Nabi Musa as menyelesaikan tugas mengembala kambing mertuanya iaitu Nabi Syuaib as dalam waktu yang telah ditetapkan. Ada yang mengatakan baginda menuju ke Mesir bersama-sama keluarganya setelah meninggalkan Mesir selama lebih dari sepuluh tahun.
Pada malam yang sangat dingin, dalam perjalanan menuju ke Mesir baginda tersesat jalan. Ketika itu musim sejuk, dipenuhi awan, kegelapan dan berkabus. Baginda singgah di suatu tempat di lereng pergunungan. Baginda menggosok-gosok kayu untuk mendapatkan percikan api tetapi gagal. Tiba-tiba baginda terlihat api di satu sisi gunung yang terletak di sebelah kanan baginda. Lalu baginda memberitahu keluarganya tentang berita gembira itu “Sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa sedikit nyala api kepadamu,” yang bermaksud membawa sepercik api sebagaimana dalam firman-Nya:
“…………………. atau membawa sepercik api agar kamu dapat menghangatkan badan.”
Al-Qasas 28:29
Ath-Thauri daripada Abu Sa’id Al-A’war daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud firman-Nya, “Atau aku akan mendapat petunjuk di tempat api itu,” ialah akan ada orang yang menunjukkan jalan.
Ayat 11
فَلَمَّآ أَتَىٰهَا نُودِىَ يَـٰمُوسَىٰٓ
Maka ketika dia datang (ke tempat api itu) dia dipanggil, Wahai Musa!
Ayat 12
إِنِّىٓ أَنَا۠ رَبُّكَ فَٱخْلَعْ نَعْلَيْكَ ۖ إِنَّكَ بِٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى
Sungguh, Aku adalah Rabbmu, maka lepaskanlah kedua-dua belah terompahmu. Kerana sesungguhnya engkau berada di lembah yang suci, Tuwa.
Ketika Nabi Musa as menghampiri api tersebut, Allah Swt menyeru baginda seperti dalam firman-Nya:
“…………………… dia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang diberkati, dari arah sebatang pohon kayu, ‘Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah, Rabb sekalian alam.’”
Al-Qasas 28:30
‘Ali bin Abi Talib, Abu Dzarr, Abu Ayyub dan lebih daripada seorang ulama mengatakan terompah Nabi Musa as dibuat daripada kulit keldai yang sederhana. Baginda diminta menanggalkan terompahnya sebagai penghormatan kepada tempat suci itu.
Menurut ‘Ali bin Abi Talib, Tuwa adalah nama sebuah lembah. Ini bertepatan dengan firman Allah Swt:
“Ketika Rabb memanggilnya (Musa) di lembah suci iaitu Lembah Tuwa.”
An-Nazi’at 79:16
Ayat 13
وَأَنَا ٱخْتَرْتُكَ فَٱسْتَمِعْ لِمَا يُوحَىٰٓ
Dan Aku telah memilihmu, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu).
Allah Ta’ala mengatakan bahawa Dia memilih Nabi Musa as di kalangan kaumnya menjadi Nabi dan Rasul untuk menyampaikan risalah-Nya. Oleh itu, Dia memerintahkan baginda mendengar dengan penuh perhatian terhadap wahyu yang akan diturunkan kepadanya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“(Allah) berfirman, ‘Wahai Musa, sesungguhnya Aku memilih (melebihkan) kamu daripada manusia yang lain (pada masamu) untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku……..’”
Al-A’raf 7:144
Allah Ta’ala memilih Nabi Musa as kerana tidak ada seorang pun yang tawadhuk kepada-Nya seperti tawadhuknya Nabi Musa as.
Ayat 14
إِنَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدْنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكْرِىٓ
Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Ilah (yang benar) selain Aku, maka beribadahlah kepada-Ku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.
Ini adalah kewajipan pertama bagi setiap mukallaf (baligh atau sudah dikenakan kewajipan) iaitu hendaklah mereka meyakini bahawa tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar kecuali Allah Swt yang tidak ada sekutu bagi-Nya.
Ada yang berpendapat ayat, “dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku,” bermaksud dirikanlah solat untuk mengingati Allah Swt. Ada juga yang berpendapat, maksudnya dirikanlah solat pada saat ingat kepada Allah Swt. Pendapat kedua ini berdasarkan hadis daripada Anas, dia mengatakan Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa tertidur sehingga tidak mengerjakan solat atau lupa (mengerjakan)nya, maka kafarahnya adalah hendaklah dia mengerjakannya jika dia mengingatnya, dan tidak ada kafarah yang lain selain itu.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 15
إِنَّ ٱلسَّاعَةَ ءَاتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ
Sesungguhnya Hari Kiamat itu akan datang, Aku merahsiakan (waktunya) agar tiap-tiap diri itu dibalas sesuai dengan apa yang dia usahakan.
Kemudian Allah Ta’ala memberitahu bahawa Hari Kiamat itu pasti terjadi. Dia merahsiakan waktu terjadinya Hari Kiamat dan ajal manusia agar manusia beramal dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat serta tidak menunda taubat dan mewaspadai datangnya kematian setiap waktu.
Oleh itu, Allah Ta’ala mengingatkan hamba-hamba-Nya melakukan ibadah sebelum tiba Hari Kiamat. Dia pasti akan membalas setiap amalan manusia sesuai dengan perbuatan mereka sebagaimana firman-firman-Nya:
“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”
Al-Zalzalah 99:7-8
“…………..Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang telah kamu kerjakan.”
At-Tur 52:16
Ayat 16
فَلَا يَصُدَّنَّكَ عَنْهَا مَن لَّا يُؤْمِنُ بِهَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ فَتَرْدَىٰ
Maka janganlah engkau dipalingkan daripada (kiamat itu) oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan oleh orang yang mengikuti keinginannya, yang menyebabkan engkau binasa.
Allah Ta’ala memberi amaran supaya tidak mengikut jalan orang yang mendustakan Hari Kiamat, yang tertipu dengan kesenangan dunia, derhaka kepada Pelindungnya dan mengikuti keinginan sendiri.
Sesiapa yang mengikuti orang-orang yang mendustakan Hari Kiamat, dia akan mendapat kerugian dan akan hancur serta binasa sebagaimana firman Allah Swt:
“Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila dia telah binasa.”
Al-Lail 92:11