Surah 19: Maryam (88 – 95)

Penafian Keras oleh Allah Swt terhadap Orang Kafir yang Mengatakan Dia Mempunyai Anak

Surah 19: Maryam (88 – 95)


Ayat 88

وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَلَدًا

Dan mereka berkata, “Rabb Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.”

Ayat 89

لَّقَدْ جِئْتُمْ شَيْـًٔا إِدًّا

Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar.

Allah Ta’ala menetapkan bahawa kedudukan Nabi Isa as adalah sebagai hamba dan penciptaan baginda tanpa ayah. Allah Ta’ala juga menetapkan bahawa orang-orang yang mendakwa Dia memiliki anak adalah satu pengingkaran terhadap-Nya. Maha Tinggi dan Maha Suci Dia daripada dakwaan itu.

Ayat 90

تَكَادُ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ ٱلْأَرْضُ وَتَخِرُّ ٱلْجِبَالُ هَدًّا

Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh.

Ayat 91

أَن دَعَوْا۟ لِلرَّحْمَـٰنِ وَلَدًا

Kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak.

Ayat 92

وَمَا يَنۢبَغِى لِلرَّحْمَـٰنِ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا

Dan tidak layak bagi Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.

Ayat “Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh, kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak,” bermaksud hampir sahaja perkara itu terjadi ketika langit, bumi, gunung-gunung dan lain-lain mendengar perkataan-perkataan manusia yang sangat derhaka menuduh bahawa Allah Swt mempunyai anak.

Hal ini kerana langit, bumi dan gunung itu seakan-akan marah dan kemarahan tersebut sebagai mengagungkan dan memuliakan Allah Swt. Ini kerana langit, bumi dan gunung itu merupakan ciptaan-Nya yang tegak di atas prinsip bahawa tidak ada ilah kecuali Dia, tidak ada sekutu bagi-Nya, tidak ada tandingan-Nya, tidak memiliki anak, tidak memiliki isteri, dan tidak ada yang menyerupai-Nya. Bahkan Dia-lah Yang Maha Esa yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, tentang firman Allah, “Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh, kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak,” dia mengatakan sesungguhnya penyekutuan terhadap Allah itu membuat langit, bumi dan gunung dan seluruh makhluk terperanjat kecuali manusia dan jin. Nyaris sahaja makhluk-makhluk itu runtuh kerananya.

Adh-Dhahhak mengatakan “hampir sahaja langit pecah kerana ucapan itu,” bermaksud langit terpecah berhamburan kerana keagungan Allah Swt. Manakala ‘Abdurrahman bin Zaid bin Aslam mengatakan “bumi terbelah” disebabkan murka Allah Ta’ala.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan hancur. Sa’id bin Jubair mengatakan sebahagian runtuh menimpa sebahagian yang lain secara berturut-turut.

Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya mereka menjadikan bagi-Nya anak, padahal Dia memberi rezeki dan kesihatan kepada mereka.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya tidak layak bagi Allah Swt mempunyai anak disebabkan keagungan dan kemuliaan-Nya, tidak ada di antara makhluk-Nya yang setara dengan-Nya, kerana seluruh makhluk-Nya adalah hamba-hamba-Nya.

Ayat 93

إِن كُلُّ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ إِلَّآ ءَاتِى ٱلرَّحْمَـٰنِ عَبْدًا

Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba.

Ayat 94

لَّقَدْ أَحْصَىٰهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّا

Sesungguhnya Allah telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti.

Ayat 95

وَكُلُّهُمْ ءَاتِيهِ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فَرْدًا

Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada Hari Kiamat dengan sendiri-sendiri.

Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan setiap makhluk-Nya baik malaikat, manusia dan jin pasti akan menghadap-Nya pada Hari Kiamat dengan menyatakan diri mereka sebagai hamba-Nya dan menghinakan diri mereka sendiri d ihadapan-Nya.

Allah Ta’ala telah mengetahui jumlah mereka sejak penciptaan mereka hingga Hari Kiamat, sama ada lelaki atau pun perempuan, yang kecil atau pun yang besar. Dia Maha Mengetahui keadaan mereka semua dan semuanya berada di bawah kekuasaan, perintah dan pengaturan-Nya.

Setiap makhluk akan datang kepada Allah Ta’ala tanpa memiliki penolong, harta dan tidak ada pelindung bagi mereka kecuali Dia yang tiada sekutu bagi-Nya.

Allah Ta’ala menetapkan hukum kepada seluruh makhluk-Nya sesuai dengan kehendak-Nya. Dia Maha Adil yang tidak akan menzalimi manusia sama sekali akan tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.