Azab bagi Orang yang Tidak Percaya akan Hari Kebangkitan setelah Kematiannya
Surah 19: Maryam (66 – 70)
Ayat 66
وَيَقُولُ ٱلْإِنسَـٰنُ أَءِذَا مَا مِتُّ لَسَوْفَ أُخْرَجُ حَيًّا
Dan berkata manusia, “Betulkah apabila aku telah mati, bahawa aku sungguh-sungguh akan dibangkitkan menjadi hidup kembali?”
Allah Ta’ala menerangkan tentang orang-orang kafir yang menyekutukan Allah Ta’ala dan mengingkari Hari Kebangkitan. Mereka berkata dengan penuh kehairanan dan pengingkaran terhadap dihidupkan-Nya kembali manusia setelah kematian. Firman-Nya:
“Dan jika (ada sesuatu) yang kamu hairankan, maka yang patut menghairankan adalah ucapan mereka, ‘Apabila kami telah menjadi tanah, apakah kami sesungguhnya akan (dikembalikan) menjadi makhluk yang baru?……………’”
Ar-Ra’d 13:5
Ayat 67
أَوَلَا يَذْكُرُ ٱلْإِنسَـٰنُ أَنَّا خَلَقْنَـٰهُ مِن قَبْلُ وَلَمْ يَكُ شَيْـًٔا
Dan tidakkah manusia itu memikirkan bahawa sesungguhnya Kami telah menciptakannya dahulu sedang dia tidak ada sama sekali?
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa menghidupkan kembali adalah suatu perkara yang pasti berlaku. Ini kerana telah banyak dalil yang jelas telah diberikan. Oleh itu, orang-orang yang mengingkari Hari Kebangkitan itu tidak patut berasa hairan sebaliknya mereka perlu memikirkan tentang awal penciptaan mereka. Sesungguhnya Dia telah menciptakan manusia daripada tiada sama sekali kepada ada dan menghidupkan kembali ciptaan-Nya yang telah mati adalah lebih mudah bagi-Nya.
“Dan Dia-lah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya……………”
Ar-Rum 30:27
Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah saw bersabda:
“Allah Swt berfirman, ‘Anak Adam mendustakan-Ku, padahal tidaklah patut baginya mendustakan-Ku, anak Adam menyakiti-Ku padahal tidaklah patut baginya menyakiti-Ku.’ Adapun pendustaannya terhadap-Ku adalah pernyataannya, ‘(Allah) tidak akan dapat mengembalikanku sebagaimana Dia telah menciptakanku.’ Padahal bukankah awal penciptaan itu lebih mudah daripada mengembalikannya. Dia menyakiti Aku melalui ucapannya, ‘Sesungguhnya Aku memiliki anak, padahal Aku Maha Esa, bergantung kepada-Ku segala sesuatu, tidak beranak dan tidak diperanakkan, serta tiada seorang pun yang setara dengan-Ku.’”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 68
فَوَرَبِّكَ لَنَحْشُرَنَّهُمْ وَٱلشَّيَـٰطِينَ ثُمَّ لَنُحْضِرَنَّهُمْ حَوْلَ جَهَنَّمَ جِثِيًّا
Demi Rabbmu, sesungguhnya akan Kami bangkitkan mereka bersama syaitan, kemudian akan Kami datangkan mereka ke sekeliling Jahannam dengan berlutut.
Seterusnya Allah Swt memberikan ancaman yang keras terhadap orang-orang yang mengingkari Hari Kebangkitan daripada pelbagai sisi iaitu:
▪️ Allah Ta’ala bersumpah dengan Zat-Nya Yang Maha Agung bahawa Dia pasti akan mengumpulkan mereka bersama-sama para syaitan yang mereka sembah selain-Nya.
▪️ Allah Ta’ala pasti akan mendatangkan mereka semua di sekeliling Jahannam dengan duduk berlutut kerana begitu dahsyatnya keadaan menakutkan di sekeliling mereka sehingga mereka tidak sanggup berdiri.
Al-‘Aufi menyatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa maksud berlutut ialah dalam keadaan duduk seperti firman Allah Swt:
“Dan (pada hari itu) engkau akan melihat setiap umat berlutut….”
Al-Jathiyah 45:28
Manakala As-Suddi mengatakan maksud berlutut ialah berdiri. Ini diriwayatkan daripada Murrah daripada Ibnu Mas’ud ra.
Ayat 69
ثُمَّ لَنَنزِعَنَّ مِن كُلِّ شِيعَةٍ أَيُّهُمْ أَشَدُّ عَلَى ٱلرَّحْمَـٰنِ عِتِيًّا
Kemudian pasti akan Kami tarik daripada tiap-tiap golongan siapa di antara mereka yang sangat derhaka kepada Yang Maha Pemurah.
Mujahid mengatakan ayat ini merujuk kepada setiap umat.
Ath-Thauri mengatakan daripada ‘Ali bin Al-Aqmar daripada Abul Ahwash daripada Ibnu Mas’ud ra, dia menyatakan, yang pertama hingga yang terakhir akan ditahan. Jika telah lengkap jumlahnya, Allah Ta’ala mendatangi mereka semua. Dia memulai dengan orang-orang yang paling besar penderhakaan mereka kepada-Nya, kemudian diikuti dengan golongan yang kurang sedikit penderhakaan mereka dan seterusnya secara berturutan seperti firman-Nya, “Kemudian pasti akan Kami tarik daripada tiap-tiap golongan siapa di antara mereka yang sangat derhaka kepada Yang Maha Pemurah.” Ini sebagaimana firman-Nya:
“…………..sehingga apabila mereka masuk ke dalam semuanya, berkatalah orang-orang yang masuk kemudian di antara mereka kepada orang-orang yang masuk terdahulu, ‘Wahai Rabb kami, mereka telah menyesatkan kami, sebab itu datangkanlah kepada mereka seksaan yang berlipat ganda dari neraka.’ Allah berfirman, ‘Masing-masing mendapat yang berlipat ganda, tetapi kalian tidak mengetahui.’ Dan berkatalah orang-orang yang masuk terdahulu di antara mereka kepada orang-orang yang masuk kemudian, ‘Kalian tidak mempunyai kelebihan sedikit pun atas kami, maka rasakanlah seksaan kerana perbuatan yang telah kalian lakukan.’”
Al-A’raf 7:38-3
Ayat 70
ثُمَّ لَنَحْنُ أَعْلَمُ بِٱلَّذِينَ هُمْ أَوْلَىٰ بِهَا صِلِيًّا
Dan kemudian Kami sungguh lebih mengetahui orang-orang yang seharusnya dimasukkan ke dalam neraka.
Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia lebih mengetahui siapa di antara hamba-hamba-Nya yang berhak masuk ke Neraka Jahannam dan kekal di dalamnya. Dia juga lebih mengetahui siapa yang berhak mendapat seksaan yang berlipat ganda seperti firman-Nya:
“……………Allah berfirman, ‘Masing-masing mendapat yang berlipat ganda, tetapi kalian tidak mengetahui.’”
Al-A’raf 7:38