Gambaran Syurga bagi Orang yang Bertaubat dengan Sebenar-benarnya
Surah 19: Maryam (60 – 63)
Ayat 60
إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْـًٔا
Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikit pun.
Walau bagaimanapun, Allah Ta’ala mengecualikan ancaman di atas bagi orang-orang yang bertaubat. Dia akan menerima taubat orang-orang yang telah insaf terhadap keburukan yang mereka lakukan dan mengikut hawa nafsu lalu kembali melakukan amal soleh. Maka Dia akan memberi balasan yang baik kepada mereka serta menjadikan mereka golongan yang mewarisi syurga penuh kenikmatan.
Orang-orang yang bertaubat tidak dikurangi sedikit pun amal yang telah mereka kerjakan dan semua amal buruk telah terhapus. Hal ini adalah disebabkan kemuliaan Rabb yang Maha Mulia dan kesantunan Rabb yang Maha Penyantun. Rasulullah saw bersabda:
“Orang yang bertaubat daripada dosa seperti orang yang tidak memiliki dosa.”
(HR. Ibnu Majah)
Ayat 61
جَنَّـٰتِ عَدْنٍ ٱلَّتِى وَعَدَ ٱلرَّحْمَـٰنُ عِبَادَهُۥ بِٱلْغَيْبِ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ وَعْدُهُۥ مَأْتِيًّا
Iaitu syurga ‘Adn yang telah dijanjikan oleh Rabb Yang Maha Pemurah kepada hamba-hamba-Nya, sekalipun (syurga itu) tidak nampak. Sesungguhnya janji Allah itu pasti akan ditepati.
Orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosa mereka akan mendapat Syurga ‘Adn iaitu balasan tempat tinggal yang kekal yang dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pengasih.
Syurga termasuk perkara ghaib yang dipercayai meskipun mereka belum pernah melihatnya. Ini hasil daripada kuatnya keimanan mereka.
Ayat “Sesungguhnya (janji Allah) itu pasti akan ditepati,” merupakan ayat penegasan terhadap adanya janji daripada Allah dan kepastiannya. Dia tidak memungkiri janji-Nya dan ia pasti terjadi sebagaimana firman-Nya:
“………….Adalah janji-Nya itu pasti terlaksana.”
Al-Muzammil 73:18
Ayat 62
لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَـٰمًا ۖ وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا
Mereka tidak mendengar perkataan yang tidak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki mereka di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang.
Allah Ta’ala menyatakan dalam syurga tidak ada perkataan-perkataan yang sia-sia kecuali ucapan salam sebagaimana yang ada di dunia seperti yang dinyatakan dalam firman-Nya:
“Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa tetapi mereka mendengar ucapan salam.”
Al-Waqi’ah 56:25-26
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda:
“Para syuhada berada di Baariq, iaitu sungai berdekatan dengan pintu syurga dalam kubah hijau. Rezeki tercurah kepada mereka dari syurga setiap pagi dan petang.”
(HR. Ahmad)
Adh-Dhahhak menyatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa maksud pagi dan petang adalah ukuran waktu malam dan siang (bukan bermakna ada siang dan malam).
Ayat 63
تِلْكَ ٱلْجَنَّةُ ٱلَّتِى نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّا
Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.
Syurga yang Allah Ta’ala gambarkan adalah syurga yang Dia wariskan kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa iaitu sebagaimana yang difirmankan-Nya:
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari selain itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (iaitu) yang akan mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.”
Al-Mukminun 23:1-11