Surah 18: Al-Kahfi (100 – 102)

Orang Kafir akan Diperlihatkan Neraka Jahannam

Surah 18: Al-Kahfi (100 – 102)


Ayat 100

وَعَرَضْنَا جَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لِّلْكَـٰفِرِينَ عَرْضًا

Dan Kami nampakkan Jahannam pada hari itu kepada orang-orang kafir dengan jelas.

Allah Ta’ala menyatakan, Dia memperlihatkan kengerian Neraka Jahannam dengan jelas kepada orang-orang kafir agar mereka dapat melihat azab dan seksaan yang ada di dalamnya sebelum memasukinya. Hal ini akan membuatkan mereka berasa gerun dan sedih.

Ayat 101

ٱلَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِى غِطَآءٍ عَن ذِكْرِى وَكَانُوا۟ لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا

Iaitu orang-orang yang matanya dalam keadaan tertutup daripada memperhatikan tanda-tanda kebesaran-Ku, dan adalah mereka tidak sanggup mendengar.

Kemudian Allah Ta’ala menerangkan pula sifat orang-orang kafir yang menyebabkan mereka layak ditempatkan di neraka dan menerima seksaan.

Ketika di dunia dahulu mereka tidak mahu memerhatikan dan memikirkan keterangan-keterangan tentang kebesaran Allah Swt. Mereka juga tidak mahu mengambil iktibar daripada bukti-bukti yang diberikan kepada mereka yang membolehkan mereka kembali kepada-Nya setelah melakukan maksiat. Ini kerana pandangan mata mereka telah tertutup.

Pendengaran mereka juga tertutup, tidak mahu mendengar peringatan dan keterangan-keterangan tentang kebesaran Allah Swt yang diperdengarkan kepada mereka. Mereka sengaja berpura-pura tidak melihat dan juga mendengar. Begitulah keadaan mereka yang telah terjerumus dalam dosa dan maksiat. Mereka lebih suka menurut pujukan syaitan sehingga terperangkap dalam godaannya. Allah Swt menutup hati mereka dengan menjadikan penglihatan dan pendengaran mereka tidak dapat menerima kebenaran. Firman-Nya:

“Dan sesiapa berpaling daripada pengajaran Allah Yang Maha Pengasih (Al-Quran), Kami biarkan syaitan (yang menyesatkan dan menjadi kawan karibnya.”

Az-Zukhruf 43:36

Ayat 102

أَفَحَسِبَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَن يَتَّخِذُوا۟ عِبَادِى مِن دُونِىٓ أَوْلِيَآءَ ۚ إِنَّآ أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَـٰفِرِينَ نُزُلًا

Maka apakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka (dapat) mengambil hamba-hamba-Ku menjadi penolong selain-Ku? Sesungguhnya Kami akan menyediakan Neraka Jahannam tempat tinggal orang-orang kafir.

Pertanyaan Allah Ta’ala dalam ayat ini adalah sebagai celaan kepada orang-orang kafir yang menyangka makhluk-Nya yang lain dapat memberi syafaat kepada mereka. Firman-Nya:

“Sekali-kali tidak. Kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan (pengikut-pengikutnya) terhadapnya, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka.”

Maryam 19:82

Neraka Jahannam telah pun disediakan oleh Allah Swt kepada orang-orang yang meyakini bahawa ada hamba-hamba-Nya yang layak dijadikan penolong dan memberi syafaat kepada mereka.