Permusuhan Iblis terhadap Nabi Adam as
Surah 18: Al-Kahfi (50)
Ayat 50
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ ٱلْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِۦٓ ۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُۥ وَذُرِّيَّتَهُۥٓ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِى وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّۢ ۚ بِئْسَ لِلظَّـٰلِمِينَ بَدَلًا
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam,“ maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka ia menderhakai perintah Rabbnya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunan-keturunannya sebagai pemimpin selain-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim.
Allah Ta’ala mengingatkan anak cucu Nabi Adam as tentang permusuhan Iblis terhadap mereka dan juga terhadap bapa mereka yang pertama diciptakan-Nya. Ayat ini juga merupakan celaan bagi orang-orang yang mengikuti Iblis serta menderhakai-Nya.
Allah Ta’ala menyatakan ketika Dia memerintahkan para malaikat sujud kepada Nabi Adam as sebagai tanda menghormati dan memuliakan baginda, seluruh malaikat telah bersujud kecuali Iblis kerana kesombongannya dengan asal usul penciptaannya.
Iblis diciptakan daripada api dan malaikat diciptakan daripada cahaya sedangkan Nabi Adam as diciptakan daripada tanah liat. Firman Allah Swt:
“……..Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.”
Al-A’raf 7:12
‘Aisyah ra menceritakan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Malaikat diciptakan daripada cahaya, Iblis diciptakan daripada nyalaan api (tanpa asap) dan Adam diciptakan daripada apa yang telah disampaikan kepadamu (tanah).”
(HR. Muslim)
Iblis telah menderhakai Allah Ta’ala dengan tidak mentaati perintah-Nya. Oleh itu Dia mengecam orang-orang yang mengikuti Iblis dan menjadikannya sebagai pengganti-Nya. Firman-Nya:
“Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai Bani Adam supaya tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu, dan hendaklah kamu menyembah Aku. Inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar di antara kamu, maka apakah kamu tidak mengerti?”
Yasin 36:60-62