Ganjaran Syurga kepada Orang yang Beriman dan Beramal Soleh
Surah 18: Al-Kahfi (30 – 31)
Ayat 30
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا
Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan baik.
Ayat 31
أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمُ ٱلْأَنْهَـٰرُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّن سُندُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُّتَّكِـِٔينَ فِيهَا عَلَى ٱلْأَرَآئِكِ ۚ نِعْمَ ٱلثَّوَابُ وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا
Mereka itulah (orang-orang yang) bagi mereka Syurga ‘Adn, mengalir sungai-sungai di bawahnya, dalam syurga itu mereka dihiasi dengan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas pelamin-pelamin yang indah. Itulah sebaik-baik pahala, dan tempat istirahat yang indah.
Dalam ayat sebelumnya Allah Ta‘ala menceritakan keadaan orang-orang yang mengalami kesengsaraan akibat kekufuran mereka, dalam ayat ini pula Dia menceritakan keadaan orang-orang yang mendapat kebahagiaan. Inilah janji-Nya kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Orang-orang yang beriman kepada Allah Swt dan membenarkan apa yang dibawa oleh para Rasul serta mengerjakan apa yang diperintahkan kepada mereka, bagi mereka Syurga ‘Adn yang mengalir sungai-sungai di bawahnya.
Allah Ta‘ala juga menceritakan perhiasan yang akan mereka perolehi ialah gelang emas sebagaimana firman-Nya:
“…………….Di syurga itu mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang daripada emas dan mutiara, dan pakaian mereka adalah sutera.”
Al-Hajj 22:23
Allah Ta’ala memperjelaskan lagi keadaan mereka di syurga dengan perkataan سُندُسٍ yang bermaksud sutera halus iaitu pakaian yang halus lagi nipis. Manakala إِسْتَبْرَقٍ merupakan pakaian yang diperbuat daripada sutera tebal yang berkilauan.
Ayat, “Sedang mereka duduk sambil bersandar di atas pelamin-pelamin yang indah,” ada yang berpendapat maksudnya ialah berbaring dan ada juga yang berpendapat duduk bersila. Pendapat mengatakan bersila serupa dengan maksud hadis sahih di bawah:
“Adapun aku, tidak makan sambil duduk dengan cara bersandar (seperti bersandar ke salah satu tangan).”
(Syarah Riadhus Solihin)
Manakala maksud perkataan “pelamin-pelamin” dalam ayat di atas ialah katil di bilik pengantin. Ada juga dimaksudkan di bawah kain hiasan.
Syurga adalah sebaik-baik pahala atas amal perbuatan mereka, dan merupakan tempat tinggal yang terbaik dan terindah. Semoga Allah Swt memasukkan kita semua ke dalam golongan mereka yang diberi nikmat. Allahumma aamiin!