Kebanyakan Manusia Bersifat Kedekut
Surah 17: Al-Isra’ (100)
Ayat 100
قُل لَّوْ أَنتُمْ تَمْلِكُونَ خَزَآئِنَ رَحْمَةِ رَبِّىٓ إِذًا لَّأَمْسَكْتُمْ خَشْيَةَ ٱلْإِنفَاقِ ۚ وَكَانَ ٱلْإِنسَـٰنُ قَتُورًا
Katakanlah, “Seandainya kamu menguasai perbendaharaan-perbendaharaan rahmat Rabbku, nescaya perbendaharaan itu kamu tahan, kerana takut membelanjakannya.” Dan adalah manusia itu sangat kikir.
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyatakan kepada kaum musyrik Mekah bahawa sekiranya manusia dapat menguasai perbendaharaan-Nya, pasti mereka tidak membelanjakannya, bahkan nikmat itu akan ditahan supaya tidak diinfakkan kepada orang lain kerana takut menjadi miskin.
Sesungguhnya manusia bersifat kedekut, takut, cemas dan berkeluh kesah kecuali orang-orang yang mendapat petunjuk Allah Swt. Firman-Nya dalam ayat-ayat lain:
“Atau adakah bagi mereka bahagian daripada kerajaan (kekuasaan)? Meskipun ada, mereka tidak akan memberikan sedikit pun (kebajikan) kepada manusia.”
An-Nisa’ 4:53
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kedekut, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat.”
Al-Ma‘arij 70:19-22
Ayat ini merupakan dalil tentang kikirnya manusia dan dalil tentang kemurahan, kedermawaan dan kebaikan Allah Swt. Sabda Rasulullah saw:
“Tangan Allah selalu penuh, tidak berkurang kerana pemberian. Dia sentiasa memberi pada siang dan malam hari. Tidakkah kalian perhatikan apa yang telah Dia berikan sejak menciptakan langit dan bumi? Sesungguhnya apa yang ada ditangan-Nya, tidak berkurang sama sekali.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)