Surah 17: Al-Isra’ (98 – 99)

Penciptaan Langit dan Bumi adalah Lebih Besar daripada Penciptaan Manusia

Surah 17: Al-Isra’ (98 – 99)


Ayat 98

ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُم بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَقَالُوٓا۟ أَءِذَا كُنَّا عِظَـٰمًا وَرُفَـٰتًا أَءِنَّا لَمَبْعُوثُونَ خَلْقًا جَدِيدًا

Itulah balasan bagi mereka, kerana sesungguhnya mereka kafir kepada ayat-ayat Kami dan (kerana mereka) berkata, “Apakah bila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur, kami benar-benar akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk baru?”

Balasan azab yang mereka terima di akhirat nanti adalah disebabkan oleh keingkaran mereka terhadap bukti-bukti dan hujjah yang dibawa oleh Rasulullah saw. Mereka menganggap peristiwa kebangkitan selepas mati adalah mustahil.

Ayat 99

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ قَادِرٌ عَلَىٰٓ أَن يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ وَجَعَلَ لَهُمْ أَجَلًا لَّا رَيْبَ فِيهِ فَأَبَى ٱلظَّـٰلِمُونَ إِلَّا كُفُورًا

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawasanya Allah yang menciptakan langit dan bumi berkuasa (pula) menciptakan yang serupa dengan mereka, dan telah menetapkan waktu yang tertentu bagi mereka yang tidak ada keraguan padanya? Maka orang-orang zalim itu tidak menghendaki kecuali kekafiran.

Allah Swt mengingatkan orang-orang kafir bahawa Dia yang menciptakan langit dan bumi maka amatlah mudah bagi-Nya menghidupkan ciptaan-Nya yang sudah mati. Firman-firman-Nya:

“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi itu lebih besar daripada penciptaan manusia dan menghidupkannya semula, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Ghafir 40:57

“Bukankah (sepatutnya) mereka memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi, tanpa berasa payah kerana menciptakannya, berkuasa menghidupkan orang-orang mati? Ya, (bahkan) sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Al-Ahqaf 46:33

Allah Swt telah menetapkan waktu mereka dibangkitkan dari kubur, dan mereka akan dibangkitkan apabila waktu itu telah tiba. Firman-Nya:

“Dan Kami tidaklah mengundurkannya, melainkan sampai waktu yang tertentu.”

Hud 11:104

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menjelaskan bahawa orang-orang yang kufur tetap berada dalam kesesatan dan kebatilan walaupun hujjah yang nyata telah disampaikan kepada mereka.