Surah 17: Al-Isra’ (66 – 69)

Pelayaran di Lautan sebagai Analogi Tiada yang Berkuasa Menolak Ketentuan Allah Swt

Surah 17: Al-Isra’ (66 – 69)


Ayat 66

رَّبُّكُمُ ٱلَّذِى يُزْجِى لَكُمُ ٱلْفُلْكَ فِى ٱلْبَحْرِ لِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Rabbmu adalah yang melayarkan kapal-kapal di lautan untukmu, agar kamu mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyayang terhadapmu.

Allah Ta’ala menyatakan sifat-Nya yang Maha Lembut. Dia yang memberikan pelbagai nikmat kepada hamba-hamba-Nya bagi memudahkan kehidupan mereka.

Dia layarkan dan jalankan kapal-kapal di lautan untuk hamba-hamba-Nya mencari kurniaan-Nya melalui perniagaan dari satu daerah ke daerah yang lain. Ini merupakan sebahagian daripada kurniaan serta rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya.

Ayat 67

وَإِذَا مَسَّكُمُ ٱلضُّرُّ فِى ٱلْبَحْرِ ضَلَّ مَن تَدْعُونَ إِلَّآ إِيَّاهُ ۖ فَلَمَّا نَجَّىٰكُمْ إِلَى ٱلْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ ۚ وَكَانَ ٱلْإِنسَـٰنُ كَفُورًا

Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilanglah siapa yang kamu seru kecuali Dia. Maka tatkala Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. Dan manusia adalah selalu tidak berterima kasih.

Allah Swt memberitahu bahawa apabila manusia ditimpa bahaya ketika mereka sedang belayar di lautan iaitu dengan tiba-tiba laut bergelombang disebabkan angin yang kuat, maka hilanglah segala ingatan mereka terhadap makhluk-makhluk yang mereka sembah. Pada masa yang cemas itu mereka berdoa kepada-Nya dengan seikhlas-ikhlasnya.

Kemudian apabila permohonan dan doa mereka diperkenankan oleh Allah Swt dengan menyelamatkan mereka ke daratan, mereka berpaling iaitu kembali tidak mahu beriman dan mentaati-Nya.

Begitulah sifat manusia, apabila dalam kesusahan akan memohon perlindungan daripada Allah Swt dan apabila telah senang mereka melupai nikmat tersebut. Mereka mengingkari nikmat kecuali orang-orang yang dipelihara oleh Allah Swt.

Ayat 68

أَفَأَمِنتُمْ أَن يَخْسِفَ بِكُمْ جَانِبَ ٱلْبَرِّ أَوْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا ثُمَّ لَا تَجِدُوا۟ لَكُمْ وَكِيلًا

Maka apakah kamu berasa aman (daripada hukuman Allah) yang menterbalikkan sebahagian daratan bersamamu atau Dia meniupkan (angin kuat yang membawa) batu-batu kecil? Dan kamu tidak akan mendapat seorang pun sebagai pelindung.

Allah Swt memberi peringatan bahawa walaupun mereka diselamatkan daripada bahaya di lautan, mereka tidak boleh berasa aman daripada seksaan dan azab-Nya di daratan kerana Dia boleh menurunkan hujan batu melalui angin yang kuat sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Atau apakah kamu berasa aman terhadap Allah, yang di langit, bahawa Dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu, maka kelak kamu akan mengetahui, bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku.”

Al-Mulk 67:17

Ayat 69

أَمْ أَمِنتُمْ أَن يُعِيدَكُمْ فِيهِ تَارَةً أُخْرَىٰ فَيُرْسِلَ عَلَيْكُمْ قَاصِفًا مِّنَ ٱلرِّيحِ فَيُغْرِقَكُم بِمَا كَفَرْتُمْ ۙ ثُمَّ لَا تَجِدُوا۟ لَكُمْ عَلَيْنَا بِهِۦ تَبِيعًا

Atau apakah kamu berasa aman daripada dikembalikan-Nya kamu ke laut sekali lagi, lalu Dia meniupkan atas kamu angin taufan dan ditenggelamkan-Nya kamu disebabkan kekafiranmu. Dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun dalam perkara ini terhadap (seksaan) Kami.

Kemudian Allah Swt memberi peringatan bahawa mereka tidak boleh berasa selamat dengan menyangka Dia tidak akan mengembalikan mereka ke lautan disebabkan kekafiran mereka.

Sesungguhnya Allah Maha berkuasa mengembalikan mereka ke lautan dan mendatangkan bahaya kepada mereka sekiranya mereka masih dalam penentangan dan kekafiran. Dia berkuasa menghantarkan angin ribut yang menghancurkan segala yang dirempuhnya, lalu menenggelamkan mereka dengan sebab kekufuran mereka.