Surah 17: Al-Isra’ (61 – 65)

Permusuhan Iblis terhadap Nabi Adam as

Surah 17: Al-Isra’ (61 – 65)


Ayat 61

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ قَالَ ءَأَسْجُدُ لِمَنْ خَلَقْتَ طِينًا

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat, “Sujudlah kamu semua kepada Adam,” lalu mereka sujud kecuali Iblis. Dia (Iblis) berkata, “Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan daripada tanah?”

Allah Swt menyebutkan permusuhan antara Iblis laknatullah kepada Nabi Adam as dan keturunannya. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam as kerana berasa dirinya lebih baik daripada Nabi Adam as. Dalam ayat yang lain, Allah Swt berfirman:

“……………..(Iblis berkata), ’Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.’”

Al-A’raf 7:12

Ayat 62

قَالَ أَرَءَيْتَكَ هَـٰذَا ٱلَّذِى كَرَّمْتَ عَلَىَّ لَئِنْ أَخَّرْتَنِ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ لَأَحْتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُۥٓ إِلَّا قَلِيلًا

Dia (Iblis) berkata, “Terangkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku. Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai Hari Kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.”

Syaitan bersumpah akan menyesatkan anak cucu Nabi Adam as kecuali sedikit sahaja daripada mereka iaitu hamba-hamba-Nya yang ikhlas seperti dalam firman Allah Swt:

“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikuti kamu, iaitu orang-orang yang sesat.”

Al-Hijr 13:42

Ayat 63

قَالَ ٱذْهَبْ فَمَن تَبِعَكَ مِنْهُمْ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَآؤُكُمْ جَزَآءً مَّوْفُورًا

Allah berfirman, “Pergilah, sesiapa di antara mereka mengikuti kamu, maka sesungguhnya Neraka Jahannam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup.

Allah Swt memperkenankan permintaan Iblis agar diberi tangguh untuk menyesatkan manusia sehingga mereka binasa sepertinya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“………….. maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sehingga hari yang telah ditentukan waktunya (Hari Kiamat).”

Sad 38:80-81

Allah Swt menjanjikan Neraka Jahannam untuk Iblis dan orang-orang yang mengikutinya pada Hari Pembalasan nanti.

Ayat 64

وَٱسْتَفْزِزْ مَنِ ٱسْتَطَعْتَ مِنْهُم بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِم بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ وَعِدْهُمْ ۚ وَمَا يَعِدُهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ إِلَّا غُرُورًا

Dan perdayakanlah (doronglah kepada keburukan), sesiapa yang kamu (Iblis) sanggupi di antara mereka dengan ajakanmu dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan bersekutulah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan beri janjilah mereka.” Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka.

Seterusnya Allah Ta’ala mengatakan kepada Iblis dengan penuh penghinaan dan merendahkannya, iaitu ia boleh mengumpulkan semua kemampuannya kerana Dia telah memberi tangguh kepadanya. Sesiapa sahaja daripada keturunan Nabi Adam as yang mematuhinya, balasannya adalah Neraka Jahannam.

Iblis menggoda manusia kepada perbuatan maksiat seperti nyanyian, riba, zina dan membelanjakan harta dalam perkara kemaksiatan.

Mereka saling bekerjasama dalam melakukan kemaksiatan kepada Allah Swt dalam harta dan anak untuk mentaati Iblis. ’Iyadh bin Himar mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Allah berfirman, ’Sesungguhnya Aku telah menjadikan hamba-hamba-Ku cenderung kepada kebenaran (kebaikan), maka datanglah syaitan, lalu ia menyesatkan mereka daripada agama mereka dan mengharamkan atas mereka apa yang telah Allah halalkan.’”

(HR. Muslim)

Ayat 65

إِنَّ عِبَادِى لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَـٰنٌ ۚ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ وَكِيلًا

“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Rabbmu sebagai penjaga.”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia akan membela dan menjaga hamba-hamba-Nya yang beriman daripada hasutan syaitan yang terkutuk.