Peristiwa Isra’ Menyebabkan Sebahagian Orang yang Beriman Jadi Murtad dan Sebahagian Lagi Bertambah Keimanan
Surah 17: Al-Isra’ (60)
Ayat 60
وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِٱلنَّاسِ ۚ وَمَا جَعَلْنَا ٱلرُّءْيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيْنَـٰكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلْمَلْعُونَةَ فِى ٱلْقُرْءَانِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَـٰنًا كَبِيرًا
Dan (ingatlah), ketika Kami wahyukan kepadamu, “Sesungguhnya (ilmu) Rabbmu meliputi semua manusia.” Dan Kami tidak menjadikan apa yang telah Kami perlihatkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (begitu juga) pohon kayu yang terkutuk dalam Al-Quran. Dan Kami menakut-nakutkan mereka, tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besar kederhakaan mereka.
Allah Swt mendorong Rasulullah saw supaya menyampaikan risalah-Nya. Dia juga memberitahu bahawa sesungguhnya Dia telah memelihara Baginda daripada gangguan musuh-musuhnya sehingga tidak ada yang dapat menimpakan bahaya kepadanya. Ini kerana kekuasaan-Nya meliputi seluruh manusia.
Imam Al-Bukhari menyatakan daripada Ibnu ’Abbas ra tentang maksud ayat, “Dan Kami tidak menjadikan apa yang telah Kami perlihatkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia,” ialah pemandangan yang diperlihatkan kepada Rasulullah saw pada malam Isra’ itu adalah pemandangan yang dilihat oleh mata kasar bukannya dalam mimpi dan maksud “(begitu juga) pohon kayu yang terkutuk dalam Al-Quran” adalah Pokok Zaqqum.
Apa yang diperlihatkan oleh Allah Ta’ala kepada Rasulullah saw semasa Baginda diIsra’kan dan juga Pokok Zaqqum yang disebutkan dalam Al-Quran itu merupakan ujian kepada manusia.
Ada sebahagian besar orang-orang Islam yang murtad setelah mendengar kisah Isra’ kerana tidak dapat diterima oleh hati dan akal lalu mereka mendustakannya. Orang-orang kafir terus menerus tenggelam dalam kekafiran dan kesesatan. Ini juga merupakan penghinaan Allah Ta’ala terhadap mereka. Manakala ada sebahagian yang lain, kisah ini menambahkan lagi keimanan dan keyakinan mereka terhadap janji-janji-Nya.
Berkaitan dengan Pokok Zaqqum pula sebahagian orang-orang musyrik tidak mempercayainya apabila Rasulullah saw menceritakan bahawa Baginda telah melihat syurga dan neraka serta Pokok Zaqqum yang tumbuhnya di dasar neraka.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir disebutkan bahawa Ibnu ’Abbas ra, Masruq, Abu Malik, Al-Hasan Al-Basri dan lain-lain menyatakan orang-orang musyrik mendustakan semua ini, sehingga Abu Jahal laknatullah berkata, “Ambillah untuk kami kurma dan keju.” Lalu dia memakannya sambil berkata, “Kami tidak tahu Pohon Zaqqum selain ini.”
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan Dia menakutkan orang-orang musyrik dengan ancaman-ancaman azab agar mereka mengikut jalan yang selamat. Namun setelah diberikan peringatan mereka semakin jauh tersesat dan semakin besar kederhakaan mereka kepada-Nya.