Allah Swt Mengutuskan Para Rasul hanya daripada Kalangan Manusia
Surah 16: An-Nahl (43 – 44)
Ayat 43
وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِىٓ إِلَيْهِمْ ۚ فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Dan Kami tidak mengutus (Nabi dan Rasul) sebelum kamu (Muhammad), kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia tidak mengutuskan kepada manusia seorang Rasul yang berasal daripada penduduk langit iaitu malaikat. Dia mengutuskan kepada umat Nabi Muhammad saw Rasul daripada kalangan manusia sebagaimana Dia mengutuskan Rasul kepada umat sebelumnya untuk membawa perintah dan larangan-Nya.
Adh-Dhahhak berkata daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa ketika Allah Ta’ala mengutus Nabi Muhammad saw sebagai seorang Rasul, orang-orang Arab atau sebahagian daripada mereka mengingkarinya dan berkata, “Allah terlalu agung untuk hanya mengutuskan seorang manusia.” Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat ini dan juga ayat di bawah:
“Patutkah bagi manusia berasa hairan bahawa Kami mewahyukan kepada seorang lelaki di antara mereka, ‘Berilah peringatan kepada manusia dan gembirakanlah orang-orang beriman bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Rabb mereka?’ Orang-orang kafir berkata, ‘Sesungguhnya orang ini (Muhammad) benar-benar adalah tukang sihir yang nyata.’”
Yunus 10:2
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw bertanya kepada ahli kitab tentang adakah Rasul-rasul yang diutuskan-Nya kepada mereka dahulu berupa seorang lelaki ataupun malaikat. Jika Rasul-rasul tersebut daripada malaikat memang layaklah mereka membantah pengutusan Nabi Muhammad saw kepada mereka. Namun jika Rasul-rasul tersebut daripada kalangan manusia sepatutnya mereka tidak perlu membantah. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Kami tidak mengutus sebelum kamu (wahai Muhammad), melainkan orang-orang lelaki yang kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. Maka tidakkah mereka berjalan di muka bumi lalu mereka melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan Rasul)……………”
Yusuf 12:109
Ayat 44
بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَٱلزُّبُرِ ۗ وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab. Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka supaya mereka memikirkan.
Ayat ini merupakan ayat penegasan tentang tugas para Rasul. Mereka membawa keterangan-keterangan dan kitab-kitab yang jelas menunjukkan kewajipan beribadah hanya kepada-Nya.
Al-Quran diturunkan kepada manusia agar mereka dapat mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah saw, beriman dengannya agar memperoleh keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.