Setiap Umat Mempunyai Rasul yang Diutus untuk Menyerukan Tauhid
Surah 16: An-Nahl (35 – 37)
Ayat 35
وَقَالَ ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ لَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا عَبَدْنَا مِن دُونِهِۦ مِن شَىْءٍ نَّحْنُ وَلَآ ءَابَآؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِن دُونِهِۦ مِن شَىْءٍ ۚ كَذَٰلِكَ فَعَلَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ فَهَلْ عَلَى ٱلرُّسُلِ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ ٱلْمُبِينُ
Dan berkatalah orang-orang musyrik, “Jika Allah menghendaki, nescaya kami tidak akan menyembah sesuatu apa pun selain Dia, sama ada kami ataupun bapa-bapa kami, dan tidak pula kami mengharamkan sesuatu pun tanpa (izin)-Nya.” Demikianlah yang dilakukan oleh orang-orang sebelum mereka. Maka tidak ada kewajipan atas para rasul, selain menyampaikan (amanah Allah) dengan terang.
Allah Swt menyebutkan tentang orang-orang musyrik yang terpedaya dengan kemusyrikan mereka dan memberikan alasan bahawa mereka berpegang kepada takdir untuk tidak beriman kepada-Nya. Mereka membuat kesimpulan bahawa seandainya Allah Swt tidak menyukai apa yang mereka lakukan, tentulah Allah Swt mengingkari perbuatan itu dengan menurunkan hukuman dan tentulah Dia tidak akan memberikan kesempatan kepada mereka untuk melakukannya.
Allah Swt membantah alasan mereka itu dengan menyatakan bahawa Dia telah melarang perbuatan syirik melalui perutusan rasul kepada setiap umat.
Ayat 36
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِى كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجْتَنِبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنْهُم مَّنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ ٱلضَّلَـٰلَةُ ۚ فَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُكَذِّبِينَ
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah thaghut itu,” maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (para rasul).
Allah Swt sentiasa mengutus para rasul kepada manusia sejak munculnya kemusyrikan pada anak cucu Nabi Adam as, iaitu pada zaman Nabi Nuh as.
Tugas para rasul adalah sama iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah Swt. Ada di kalangan manusia yang dapat hidayah dan ada juga yang masih memilih kesesatan. Sesiapa yang menerima dan mengamalkan ajaran para rasul, mereka akan selamat. Manakala orang-orang yang menolaknya akan mendapat seksaan atau dibinasakan oleh Allah Swt.
Oleh sebab itu, Allah Swt menyuruh manusia berjalan ke mana sahaja di muka bumi ini sambil memerhati, merenung dan memikirkan sejarah negeri-negeri yang penduduknya dibinasakan.
Ayat 37
إِن تَحْرِصْ عَلَىٰ هُدَىٰهُمْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى مَن يُضِلُّ ۖ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ
Jika kamu sangat mengharapkan agar mereka dapat petunjuk, maka sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang disesatkan-Nya, dan sekali-kali mereka tiada mempunyai penolong.
Nabi Muhammad saw sangat mengharapkan kaum kafir mendapat petunjuk. Lalu Allah Ta’ala menegaskan bahawa sekiranya Baginda berusaha sekuat tenaga dan mengharapkan mereka mendapat petunjuk, maka tidak akan berhasil sekiranya Dia membiarkan mereka sesat kerana mereka lebih memilih kesesatan. Kelak mereka tidak akan mempunyai penolong yang akan menyelamatkan mereka. Firman-firman-Nya:
“……..Sesiapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sesuatupun (yang datang) daripada Allah……”
Al-Ma‘idah 5:41
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia yang lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
Al-Qasas 28:56