Surah 16: An-Nahl (30 – 32)

Balasan kepada Orang-orang yang Bertakwa

Surah 16: An-Nahl (30 – 32)


Ayat 30

وَقِيلَ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ مَاذَآ أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُوا۟ خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ ٱلْـَٔاخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ ٱلْمُتَّقِينَ

Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa, “Apakah yang telah diturunkan oleh Rabbmu?” Mereka menjawab, “(Allah telah menurunkan) kebaikan.” Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa.

Orang-orang yang memelihara diri daripada kekafiran, kemaksiatan dan takut kepada Allah Ta’ala, apabila ditanya apakah yang diturunkan-Nya, maka mereka menjawab kebaikan iaitu rahmat dan keberkatan bagi sesiapa yang mengikutinya, beriman kepada-Nya dan Rasul-Nya.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang beriman kepada-Nya dan Rasul-Nya, taat dan patuh kepada perintah dan larangan-Nya, maka Dia akan memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Ganjaran yang baik di sisi Allah Ta’ala adalah berupa kemenangan, pertolongan dan kemuliaan. Manakala di akhirat kelak mereka diberikan ganjaran syurga dengan segala nikmat dan kebaikan di dalamnya.

Ayat 31

جَنَّـٰتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَآءُونَ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْزِى ٱللَّهُ ٱلْمُتَّقِينَ

(Iaitu) Syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya, mengalir di bawahnya sungai-sungai, di dalam syurga itu mereka mendapat segala apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa.

Seterusnya Allah Ta’ala menggambarkan keadaan negeri akhirat iaitu sesungguhnya sebaik-baik tempat bagi orang-orang yang bertakwa ialah syurga ‘Adn yang menjadi tempat tinggal mereka di akhirat. Sungai-sungai mengalir di bawahnya dan kenikmatan serta kesenangan di dalamnya sentiasa berterusan dan melimpah. Mereka sentiasa mendapat apa yang mereka inginkan. Firman-Nya:

“…………….dan di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan sedap (dipandang) mata dan kamu kekal di dalamnya.”

Az-Zukhruf 43:71

Ayat 32

ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ طَيِّبِينَ ۙ يَقُولُونَ سَلَـٰمٌ عَلَيْكُمُ ٱدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

(Iaitu) Orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka), “Salamun ‘alaikum (Kesejahteraan atas kamu), masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.”

Allah Ta‘ala menceritakan keadaan orang-orang tidak mensyirikkan-Nya pada saat mereka menghadapi kematian. Para malaikat datang kepada mereka sambil mengucapkan salam dan menyampaikan berita gembira bahawa mereka akan dimasukkan ke syurga, seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, ‘Rabb kami ialah Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), ‘Janganlah kamu takut dan janganlah sedih, bergembiralah kamu dengan (mendapat) syurga yang telah dijanjikan Allah kepada kamu.’”

Fussilat 41:30