Surah 15: Al-Hijr (89 – 96)

Rasulullah saw adalah Pemberi Peringatan

Surah 15: Al-Hijr (89 – 96)


Ayat 89

وَقُلْ إِنِّىٓ أَنَا ٱلنَّذِيرُ ٱلْمُبِينُ

Dan katakanlah, “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan.”

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar menyatakan bahawa Baginda adalah seorang Rasul pemberi peringatan yang jelas kepada manusia iaitu tentang seksaan pedih yang akan menimpa sekiranya mereka terus derhaka kepada Allah Swt, sebagaimana seksaan terhadap umat-umat terdahulu yang mendustakan para Rasul.

Daripada Abu Musa ra, Nabi Muhammad saw bersabda:

“Sesungguhnya perumpamaanku dan risalah yang diutuskan oleh Allah kepadaku untuk menyampaikannya, bagaikan seorang lelaki yang datang kepada kaumnya, lalu dia berkata (kepada mereka), “Wahai kaumku, sesungguhnya aku telah melihat pasukan musuh dengan mata kepalaku sendiri, dan sesungguhnya aku adalah orang yang memberikan peringatan ini kepada kalian, maka selamatkanlah diri kalian, selamatkanlah diri kalian!” Maka sebahagian daripada kaumnya ada yang mentaati peringatannya, lalu mereka pergi pada malam harinya dengan tenang untuk menyelamatkan diri, maka selamatlah mereka (daripada serangan musuh). Dan sebahagian daripada kaumnya mendustakannya, sehingga mereka tetap berada di tempatnya pada pagi harinya, akhirnya pasukan musuh datang menyerang mereka pada pagi harinya sehingga binasalah mereka kerana dibunuh habis-habisan oleh musuh. Yang demikian itulah perumpamaan orang yang taat kepadaku dan mengikuti kebenaran yang aku sampaikan, dan perumpamaan orang yang derhaka kepadaku serta mendustakan kebenaran yang aku sampaikan.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 90

كَمَآ أَنزَلْنَا عَلَى ٱلْمُقْتَسِمِينَ

Sebagaimana (Kami telah memberi peringatan), Kami telah menurunkan (azab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi (kitab Allah).

Ayat ini adalah sambungan daripada ayat-ayat sebelum ini, iaitu sebagaimana Allah Swt memberikan tujuh ayat yang berulang-ulang dan Al-Quran yang agung kepada Rasulullah saw, Allah Swt juga memberikan kitab Taurat kepada orang-orang Yahudi dan Injil kepada kaum Nasrani. Mereka ini membahagi-bahagikan Al-Quran kepada beberapa bahagian. Mereka meyakini sebahagian dan mengingkari sebahagian yang lain. Dalam Tafsir Ibnu Kathir, firman Allah “Al-Muqtasimiin” yang bermaksud membahagi-bahagi ditafsirkan sebagai saling bersumpah untuk menentang dan mendustakan serta menyakiti para Nabi, sebagaimana firman-Nya yang menceritakan kisah Kaum Nabi Saleh as:

“Mereka berkata, ‘Bersumpahlah dengan nama Allah, bahawa kita sungguh-sungguh akan menyerangnya dengan tiba-tiba pada waktu malam………….’”

An-Naml 27:49

Ayat 91

ٱلَّذِينَ جَعَلُوا۟ ٱلْقُرْءَانَ عِضِينَ

(Iaitu) orang-orang yang telah menjadikan Al-Quran itu terbahagi-bahagi,

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa mereka ini adalah ahli kitab, kerana mereka membahagi-bahagi kitab mereka menjadi beberapa bahagian, lalu mereka beriman kepada sebahagiannya dan ingkar kepada sebahagian yang lain.

Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang Quraisy. Mereka menjadikan Al-Quran terbahagi-bahagi bermaksud sebahagian daripada mereka mengatakan Nabi Muhammad saw adalah tukang sihir. Sebahagian yang lain mengatakan Baginda adalah orang gila dan ada juga yang mengatakan Baginda adalah seorang dukun dan itulah yang dimaksudkan dengan “terbahagi-bahagi”.

Ayat 92

فَوَرَبِّكَ لَنَسْـَٔلَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Maka demi Rabbmu, Kami pasti akan bertanya mereka semua,

Ayat 93

عَمَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Tentang apa yang telah mereka lakukan dahulu.

Allah Ta’ala bersumpah demi Zat-Nya Yang Maha Suci untuk menegaskan adanya hisab atas semua amal perbuatan.

Abul ‘Aliyah mengatakan berkaitan dengan ayat ini, Allah Swt akan menanyakan kepada seluruh hamba-hamba-Nya tentang dua perkara, iaitu tentang apa yang mereka sembah dan bagaimana tindakan mereka terhadap ajakan para Nabi dan Rasul.

Ayat 94

فَٱصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ ٱلْمُشْرِكِينَ

Maka sampaikanlah olehmu segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.

Allah Ta‘ala memerintahkan Rasulullah saw menyampaikan apa yang telah diturunkan oleh-Nya dan diingatkan supaya tidak menghiraukan orang-orang musyrik yang menghalang Baginda. Orang-orang musyrik sangat menginginkan Baginda bersikap lembut dengan mereka sebagaimana firman-Nya:

“Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).”

Al-Qalam 68:9

Ada beberapa pendapat tentang maksud ayat ini:

▪️    Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksudnya adalah, “Laksanakanlah.” dan pada riwayat lain beliau mengatakan maksudnya, “Lakukanlah apa yang diperintahkan kepada kamu.”

▪️    Mujahid mengatakan maksud ayat ini ialah perintah agar Rasulullah saw membaca Al-Quran dengan suara yang kuat ketika solat.

▪️    Abdullah Ibnu Mas‘ud ra mengatakan bahawa Rasulullah saw sentiasa menyampaikan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi, hinggalah turun ayat ini. Selepas itu barulah Baginda keluar bersama-sama para sahabatnya menyeru kepada agama Islam secara terang-terangan.

Ayat 95

إِنَّا كَفَيْنَـٰكَ ٱلْمُسْتَهْزِءِينَ

Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (kamu),

Ini merupakan jaminan perlindungan dan pemeliharaan daripada Allah Ta’ala bahawa Dia akan memelihara dan menjaga Rasulullah saw daripada keburukan dan kejahatan orang-orang yang mengolok-olok dan mencemuhnya.

Ayat 96

ٱلَّذِينَ يَجْعَلُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ ۚ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

Iaitu, orang-orang yang menganggap ilah yang lain selain Allah. Maka mereka kelak akan mengetahui (akibat-akibatnya).

Ayat ini merupakan ancaman yang keras dan janji Allah Ta’ala yang pasti kepada orang-orang yang mensyirikkan-Nya. Mereka akan ditimpakan seksaan yang pedih di akhirat kelak.