Surah Al-Fatihah dan Al-Quran yang Agung Lagi Mulia
Surah 15: Al-Hijr (87 – 88)
Ayat 87
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَـٰكَ سَبْعًا مِّنَ ٱلْمَثَانِى وَٱلْقُرْءَانَ ٱلْعَظِيمَ
Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu (Muhammad) tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung.
Allah Swt menyatakan kepada Rasulullah saw bahawa Baginda telah diberikan penghormatan dengan dikurniakan Surah Al-Fatihah iaitu surah yang diulang-ulang bacaannya di dalam solat dan juga Al-Quran yang mulia. Sesungguhnya kurniaan ini merupakan nikmat yang agung lebih daripada kenikmatan dan kesenangan dunia.
Ulama berbeza pendapat tentang maksud tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dalam ayat ini:
1. Ibnu Mas’ud, Ibnu Umar, Ibnu ’Abbas, Mujahid ram dan lain-lain mengatakan itu adalah tujuh surah yang panjang iaitu Surah Al-Baqarah, Ali ’Imran, An-Nisa’, Al-Ma’idah, Al-An’am, Al-A’raf dan Yunus.
2. Ibnu Jarir At-Tabari mengatakan tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang itu ialah Surah Al-Fatihah.
Ayat 88
لَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّنْهُمْ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَٱخْفِضْ جَنَاحَكَ لِلْمُؤْمِنِينَ
Janganlah sekali-kali kamu tumpukan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir itu), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berlemah-lembutlah kamu terhadap orang-orang yang beriman.
Allah Swt menyatakan kepada Nabi Muhammad saw, bahawa Baginda telah dikurniakan Al-Quran yang agung. Oleh itu, Baginda diingatkan supaya tidak menumpukan perhatian kepada kekayaan dan kesenangan yang telah diberikan-Nya kepada orang-orang kafir. Kesenangan itu tidak kekal dan merupakan ujian kepada mereka.
Baginda juga diingatkan supaya tidak berdukacita dengan sikap mereka yang mendustakan dan menentang agama-Nya. Ini kerana Baginda sentiasa mengharapkan setiap orang yang diserunya akan beriman. Selain itu Baginda disuruh berlemah lembut dan merendah diri kepada orang-orang mukmin, sepertimana di dalam firman-Nya: (Rujuk Surah At-Taubah 9:128).
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada kaum kamu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan kamu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.”
At-Taubah 9:128