Surah 15: Al-Hijr (28 – 42)

Kemuliaan Nabi Adam as Mengatasi Malaikat dan Jin

Surah 15: Al-Hijr (28 – 42)


Ayat 28

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّى خَـٰلِقٌۢ بَشَرًا مِّن صَلْصَـٰلٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ

Dan (ingatlah), ketika Rabbmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.

Ayat 29

فَإِذَا سَوَّيْتُهُۥ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُوا۟ لَهُۥ سَـٰجِدِينَ

Maka apabila aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan)-Ku, Maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.”

Allah Ta’ala menerangkan bagaimana Dia memuliakan Nabi Adam as dengan memerintahkan para malaikat untuk sujud hormat kepadanya.

Ayat 30

فَسَجَدَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ

Maka bersujudlah para malaikat itu semuanya bersama-sama,

Ayat 31

إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰٓ أَن يَكُونَ مَعَ ٱلسَّـٰجِدِينَ

Kecuali Iblis. Ia enggan ikut besama-sama (malaikat) yang sujud itu.

Semua malaikat patuh dan taat kepada perintah Allah Swt supaya sujud kepada Nabi Adam as kecuali Iblis yang menjadi musuh Baginda. Ia menolak untuk sujud kepada Baginda disebabkan kedengkian, sombong dan keras kepala serta berbangga diri.

Ayat 32

قَالَ يَـٰٓإِبْلِيسُ مَا لَكَ أَلَّا تَكُونَ مَعَ ٱلسَّـٰجِدِينَ

Allah berfirman, “Wahai Iblis, apa sebabnya kamu tidak (ikut sujud) bersama-sama mereka yang sujud itu?”

Ayat 33

قَالَ لَمْ أَكُن لِّأَسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُۥ مِن صَلْصَـٰلٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ

Berkata Iblis, “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.”

Iblis memberikan alasan dengan menampakkan kesombongan dan kedengkiannya bahawa tidak layak baginya untuk sujud kepada manusia. Ini kerana ia merasakan dirinya lebih baik daripada Nabi Adam as disebabkan ia diciptakan daripada api sedangkan Baginda diciptakan daripada tanah.

Jawapan Iblis yang angkuh dan takbur ini juga disebutkan dalam firman Allah Swt:

“Allah berfirman, ‘Apakah yang menghalang kamu untuk sujud (kepada Adam) sewaktu Aku menyuruhmu?’ Iblis menjawab, ‘Aku lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah.’”

Al-A’raf 7:12

Ayat 34

قَالَ فَٱخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ

Allah berfirman, “Keluarlah dari syurga, kerana sesungguhnya kamu terkutuk,

Ayat 35

وَإِنَّ عَلَيْكَ ٱللَّعْنَةَ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلدِّينِ

Dan sesungguhnya kutukan itu tetap menimpamu sampai hari kiamat.”

Oleh itu, Allah Ta’ala menghukum Iblis dengan diusirnya keluar dari syurga dan dilaknat sehingga Hari Kiamat.

Ayat 36

قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Berkata Iblis, “Wahai Rabbku, (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan.”

Oleh sebab terdorong oleh keinginan dan azam yang kuat untuk melancarkan tipu daya dan hasad terhadap Nabi Adam as dan keturunannya, maka Iblis memohon diberikan tempoh kepadanya sampai hari umat manusia dibangkitkan dari kubur dan dikumpulkan untuk menjalani proses hisab. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Dia (iblis) berkata, ‘Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai Hari Kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.’”

Al-Isra’ 17:62

Ayat 37

قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ ٱلْمُنظَرِينَ

Allah berfirman, “(Kalau begitu) maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh,

Ayat 38

إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْوَقْتِ ٱلْمَعْلُومِ

Sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan.”

Allah Swt memberikan penangguhan kepada Iblis sampai waktu yang telah ditentukan iaitu waktu peniupan sangkakala yang pertama tatkala semua makhluk dimatikan.

Ayat 39

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Iblis berkata, “Wahai Rabbku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,

Ayat 40

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِينَ

Kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di antara mereka.”

Tatkala Iblis sudah mendapatkan penangguhan sampai hari tersebut, ia pun berkata dengan penuh keangkuhan dan pembangkangan bahawa ia akan menggoda dan mengajak anak cucu Nabi Adam as melakukan kemaksiatan. Ia akan menjadikan maksiat itu sesuatu yang menarik dan dipandang baik. Firman Allah Swt:

“Iblis menjawab, ‘Oleh sebab Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).’”

Al-A‘raf 7:16-17

Namun Iblis tidak dapat mengganggu atau menguasai orang-orang yang ikhlas beribadah dan taat kepada Allah Ta’ala.

Ayat 41

قَالَ هَـٰذَا صِرَٰطٌ عَلَىَّ مُسْتَقِيمٌ

Allah berfirman, “Ini adalah jalan yang lurus, kewajipan Aku-lah (menjaganya).

Kemudian Allah Ta’ala mengancam Iblis dengan mengatakan bahawa jalan penghambaan dan keikhlasan adalah jalan yang lurus. Jalan itu sepenuhnya kembali kepada-Nya dan Dia-lah yang memberi balasan sesuai mengikut amalan mereka.

Ayat 42

إِنَّ عِبَادِى لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَـٰنٌ إِلَّا مَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلْغَاوِينَ

Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Iblis sekali-kali tidak memiliki kekuasaan dan tidak pula mampu menggoda hamba-hamba-Nya yang beriman lagi ikhlas. Namun orang-orang yang mengikuti Iblis itu adalah daripada kalangan yang sesat atas kesedaran dan kemahuan mereka sendiri.