Asal Penciptaan Manusia dan Jin
Surah 15: Al-Hijr (26 – 27)
Ayat 26
وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِن صَلْصَـٰلٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.
Allah Ta’ala menyatakan Dia menciptakan manusia pertama iaitu Nabi Adam as daripada tanah kering. Ibnu ’Abbas ra mengatakan tanah tersebut ialah tanah liat kering sebagaimana firman-Nya:
“Dia menciptakan manusia daripada tanah kering seperti tembikar.”
Ar-Rahman 55:14
Ayat 27
وَٱلْجَآنَّ خَلَقْنَـٰهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ ٱلسَّمُومِ
Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan Dia menciptakan jin daripada api yang sangat panas. Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud ra, dia berkata, “Panas api ini hanya satu daripada tujuh puluh bahagian panasnya api yang digunakan untuk mencipta jin.” Daripada ’Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Malaikat diciptakan daripada nur (cahaya), jin daripada nyala api dan Adam daripada apa yang telah dijelaskan kepada kalian.“
(HR. Muslim)