Surah 15: Al-Hijr (10 – 15)

Kedegilan dan Kesombongan Orang Kafir terhadap Kebenaran

Surah 15: Al-Hijr (10 – 15)


Ayat 10

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ فِى شِيَعِ ٱلْأَوَّلِينَ

Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutus (beberapa Rasul) sebelum kamu kepada umat-umat terdahulu.

Ayat 11

وَمَا يَأْتِيهِم مِّن رَّسُولٍ إِلَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

Dan tidak datang seorang Rasul pun kepada mereka, melainkan mereka memperolok-olokkannya.

Ayat ini menjadi penawar hati kepada Rasulullah saw yang bersedih menghadapi pendustaan orang-orang kafir Quraisy. Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengutuskan Rasul-rasul kepada umat-umat terdahulu dan setiap kali mereka diutuskan, pasti mereka didustakan dan dipersendakan oleh umat masing-masing.

Ayat 12

كَذَٰلِكَ نَسْلُكُهُۥ فِى قُلُوبِ ٱلْمُجْرِمِينَ

Demikianlah Kami masukkan (rasa ingkar dan memperolok-olokkan itu) ke dalam hati orang-orang yang berdosa (orang-orang kafir),

Kemudian Allah Swt menjelaskan bahawa Dia memasukkan perasaan ingkar itu ke dalam hati orang-orang yang berdosa kerana keras hati, sombong, tidak mahu mengikut petunjuk dan menentang para Rasul-Nya.

Ayat 13

لَا يُؤْمِنُونَ بِهِۦ ۖ وَقَدْ خَلَتْ سُنَّةُ ٱلْأَوَّلِينَ

Mereka tidak beriman kepadanya (Al-Quran) dan sesungguhnya telah berlalu sunnatullah terhadap orang-orang terdahulu.

Sudah diketahui bahawa sunnatullah (apa yang dilakukan oleh Allah Swt) kepada orang-orang yang mendustakan para Rasul-Nya ialah mereka akan menerima kehancuran, manakala para Nabi dan pengikut-pengikut mereka akan diselamatkan.

Ayat 14

وَلَوْ فَتَحْنَا عَلَيْهِم بَابًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فَظَلُّوا۟ فِيهِ يَعْرُجُونَ

Dan seandainya Kami membukakan kepada mereka salah satu daripada (pintu-pintu) langit, lalu mereka terus menerus naik ke atasnya,

Ayat 15

لَقَالُوٓا۟ إِنَّمَا سُكِّرَتْ أَبْصَـٰرُنَا بَلْ نَحْنُ قَوْمٌ مَّسْحُورُونَ

Tentulah mereka berkata, “Sesungguhnya pandangan kamilah yang dikaburkan, bahkan kami adalah orang orang yang kena sihir.”

Allah Ta‘ala menjelaskan tentang kerasnya kekufuran mereka terhadap kebenaran. Sekiranya Dia membuka pintu langit dan mereka dapat melihat malaikat pasti mereka tetap juga tidak mahu beriman. Ini kerana mereka terlalu sombong dan angkuh sehingga mereka memberi alasan yang pandangan mereka dikaburkan disebabkan telah disihir.