Surah 15: Al-Hijr (6 – 9)

Pengingkaran dan Perkataan Keji Orang Musyrik terhadap Nabi Muhammad saw

Surah 15: Al-Hijr (6 – 9)


Ayat 6

وَقَالُوا۟ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِى نُزِّلَ عَلَيْهِ ٱلذِّكْرُ إِنَّكَ لَمَجْنُونٌ

Mereka berkata, “Wahai orang yang diturunkan Al-Quran kepadanya, sesungguhnya kamu benar-benar orang yang gila.

Allah Swt menyebutkan kata-kata kaum musyrikin Mekah yang ditujukan kepada Rasulullah saw. Mereka mengejek dan menyindir bahawa Baginda adalah orang gila. Ini kerana isi kandungan Al-Quran yang dikemukakan oleh Baginda amat bertentangan dengan pemikiran dan amalan kebiasaan yang telah dilakukan oleh nenek moyang mereka.

Ayat 7

لَّوْ مَا تَأْتِينَا بِٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Mengapa kamu tidak mendatangkan malaikat kepada kami, jika kamu termasuk orang-orang yang benar?”

Mereka juga mencabar Rasulullah saw supaya mendatangkan kepada mereka para malaikat untuk menjadi saksi bahawa Baginda adalah benar-benar utusan Allah Swt. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Dan mereka berkata, ‘Mengapa Rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?’”

Al-Furqan 25:7

Ayat 8

مَا نُنَزِّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَمَا كَانُوٓا۟ إِذًا مُّنظَرِينَ

Kami tidak menurunkan malaikat melainkan dengan benar (untuk membawa azab) dan tiadalah mereka ketika itu diberi tangguh.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa para malaikat tidak akan diutus kecuali dengan kebenaran dan hikmah iaitu sama ada membawa azab ataupun memberi manfaat kepada makhluk-Nya.

Dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir, Mujahid mengatakan maksud ayat ini ialah Allah Ta’ala tidak menurunkan malaikat melainkan untuk membawa risalah (wahyu) dan azab.

Allah Ta’ala juga menyatakan sekiranya malaikat diutuskan kepada mereka, mereka tetap akan mendustakannya. Ini kerana Dia akan menjelmakan malaikat dalam rupa manusia dan sudah pasti mereka akan mengatakan malaikat itu manusia seperti mereka juga. Firman-Nya:

“Dan kalau Kami jadikan Rasul itu malaikat, tentulah Kami jadikan dia seorang lelaki dan (kalau Kami jadikan dia seorang lelaki), tentulah Kami meragu-ragukan atas mereka apa yang mereka ragu-ragukan atas diri mereka sendiri.”

Al-An’am 6:9

Ayat 9

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Allah Ta’ala menjamin akan memelihara Al-Quran supaya tetap dalam keadaan sempurna sebagaimana yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. Dia akan memeliharanya daripada diubah, ditambah ataupun dikurangkan isinya. Tidak ada seorang pun daripada kalangan manusia atau jin dapat menyelewengkan isi Al-Quran, sebagaimana kitab-kitab yang lain yang dipinda dan ditokok tambah.