Penangguhan Azab bagi Orang Zalim sehingga Waktu yang Dijanjikan dan Perkataan Mereka tatkala Mereka Menyaksikan Azab
Surah 14: Ibrahim (42 – 46)
Ayat 42
وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱللَّهَ غَـٰفِلًا عَمَّا يَعْمَلُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ ٱلْأَبْصَـٰرُ
Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Dia hanya memberi tangguh kepada mereka hingga ke suatu hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbeliak.
Allah Ta’ala memberitahu Rasulullah saw bahawa Dia mengetahui dan segala amalan hamba-hamba-Nya dicatat dan akan diberikan balasan di akhirat kelak.
Ayat ini juga merupakan ancaman keras kepada orang-orang yang zalim. Allah Ta’ala menangguhkan pembalasan kepada mereka bukanlah bermaksud Dia lupa dan membiarkan sahaja mereka melakukan kezaliman tetapi Dia tetap akan memperhitungkannya dan memberikan balasan yang sangat dahsyat pada Hari Kiamat.
Ayat 43
مُهْطِعِينَ مُقْنِعِى رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ ۖ وَأَفْـِٔدَتُهُمْ هَوَآءٌ
Mereka datang bergegas-gegas dengan mengangkat kepala mereka, sedang mata mereka tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong.
Allah Swt menyebutkan keadaan manusia ketika mereka dibangkitkan dari kubur. Mereka dihalau menuju ke Mahsyar untuk dihisab dan mereka bergerak dengan cepat. Firman-firman-Nya:
“Mereka datang dengan cepat kepada penyeru itu. Orang-orang kafir berkata, ‘Ini adalah hari yang berat.’”
Al-Qamar 54:8
“(Iaitu) pada hari mereka keluar dari kubur dengan cepat seakan-akan mereka pergi dengan segera kepada berhala-berhala (sewaktu di dunia).”
Al-Ma‘arij 70:43
Ibnu ‘Abbas ra dan Mujahid mengatakan bahawa maksud “dengan mengangkat kepala mereka sedang mata tidak berkedip-kedip” ialah dalam keadaan mereka mengangkat kepala, mata mereka tidak berkedip-kedip disebabkan mereka kebingungan dan ketakutan apabila mereka melihat terlalu banyak musibah yang berat dan mengerikan di hadapan mereka.
Oleh itu, fikiran menjadi kosong kerana terlalu takut dan bimbang terhadap seksaan yang akan diterima. Semoga Allah Yang Maha Agung melindungi kita daripada huru hara Hari Kiamat. Allahumma aamiin!
Ayat 44
وَأَنذِرِ ٱلنَّاسَ يَوْمَ يَأْتِيهِمُ ٱلْعَذَابُ فَيَقُولُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ رَبَّنَآ أَخِّرْنَآ إِلَىٰٓ أَجَلٍ قَرِيبٍ نُّجِبْ دَعْوَتَكَ وَنَتَّبِعِ ٱلرُّسُلَ ۗ أَوَلَمْ تَكُونُوٓا۟ أَقْسَمْتُم مِّن قَبْلُ مَا لَكُم مِّن زَوَالٍ
Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim, “Wahai Rabb kami, beri tangguhlah kami (kembalikan kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti para rasul.” (Kepada mereka dikatakan), “Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa,
Pada Hari Kiamat, orang-orang yang zalim menyesal terhadap apa yang mereka lakukan semasa di dunia dahulu. Mereka meminta untuk dikembalikan ke dunia sebagaimana Firman Allah Swt:
“(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata, ‘Wahai Rabbku kembalikanlah aku (ke dunia).’”
Al-Mu‘minun 23:99
Mereka mengucapkan hal itu hanyalah kerana ingin selamat daripada azab. Jika dikembalikan ke dunia sekali pun, mereka masih akan melakukan perkara yang sama.
Oleh itu, mereka dicela dengan pertanyaan sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas kerana mereka pernah bersumpah bahawa Allah Swt tidak akan membangkitkan orang yang sudah mati seperti dalam firman-Nya:
“Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh, ‘Allah tidak akan membangkitkan orang yang mati…………’”
An-Nahl 16:38
Ayat 45
وَسَكَنتُمْ فِى مَسَـٰكِنِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ وَتَبَيَّنَ لَكُمْ كَيْفَ فَعَلْنَا بِهِمْ وَضَرَبْنَا لَكُمُ ٱلْأَمْثَالَ
Dan kamu telah tinggal di tempat-tempat kediaman orang-orang yang menganiaya diri mereka sendiri serta telah nyata bagi kamu bagaimana Kami telah lakukan terhadap mereka dan telah Kami berikan kepada kamu beberapa perumpamaan.”
Allah Swt menyatakan sesungguhnya mereka telah melihat dan mendengar apa yang telah menimpa orang-orang yang telah mendustakan para Rasul. Meskipun demikian mereka tidak mengambil pengajaran bahkan mereka sedikitpun tidak berasa takut. Firman-Nya:
“Itulah suatu hikmah yang sempurna maka peringatan-peringatan itu tidak berguna (bagi mereka).”
Al-Qamar 54:5
Ayat 46
وَقَدْ مَكَرُوا۟ مَكْرَهُمْ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ ٱلْجِبَالُ
Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.
Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan bahawa mereka tidak akan berjaya walaupun rancangan mereka itu hebat sehingga dapat memusnahkan gunung, namun mustahil mereka dapat melenyapkan ayat-ayat, syariat, mukjizat dan kerasulan para Nabi-Nya.
Apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka sendiri berupa kesyirikan dan kekafiran kepada Allah Ta’ala sekali-kali tidak akan mendatangkan mudarat terhadap agama-Nya. Malah perbuatan mereka itu hanya mendatangkan mudarat kepada diri mereka sendiri.