Surah 14: Ibrahim (22)

Kata-kata Iblis kepada Para Pengikutnya

Surah 14: Ibrahim (22)


Ayat 22

وَقَالَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لَمَّا قُضِىَ ٱلْأَمْرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ ٱلْحَقِّ وَوَعَدتُّكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ ۖ وَمَا كَانَ لِىَ عَلَيْكُم مِّن سُلْطَـٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوْتُكُمْ فَٱسْتَجَبْتُمْ لِى ۖ فَلَا تَلُومُونِى وَلُومُوٓا۟ أَنفُسَكُم ۖ مَّآ أَنَا۠ بِمُصْرِخِكُمْ وَمَآ أَنتُم بِمُصْرِخِىَّ ۖ إِنِّى كَفَرْتُ بِمَآ أَشْرَكْتُمُونِ مِن قَبْلُ ۗ إِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan, “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepada kamu, tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadap kamu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolong kamu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu menyekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.

Allah Swt memberitahu tentang perkataan Iblis di hadapan para pengikutnya. Ini terjadi setelah Dia menetapkan keputusan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya. Setelah Allah Swt memasukkan orang-orang yang beriman ke dalam syurga dan orang-orang kafir ke neraka, Iblis yang terkutuk itu berdiri di tengah-tengah mereka dan menyampaikan pidatonya. Ini supaya orang-orang yang dimasukkan ke neraka semakin bertambah sedih dan tertipu dan tersangat rugi.

Iblis yang terlaknat itu berkata bahawa sesungguhnya Allah Ta’ala telah menjanjikan kepada mereka janji yang benar, melalui para Rasul-Nya dan menjanjikan keselamatan bagi sesiapa yang mengikuti mereka. Itu adalah janji yang benar dan berita yang benar. Adapun dia (Iblis) berjanji kepada mereka, tetapi dia menyalahinya. Ini sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain tipuan belaka.”

An-Nisa’ 4:120

Iblis juga menyatakan bahawa dia tidak ada kuasa untuk memaksa manusia berbuat maksiat iaitu tidak ada hujjah (alasan) untuknya menguatkan kata-katanya, dia hanya mampu memujuk dan menghias kemaksiatan menjadi indah sehingga manusia melakukannya. Hal ini juga dinyatakan dalam ayat lain,

“Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang menyekutukannya dengan Allah.”

An-Nahl 16:100

Kemudian Iblis mengatakan bahawa para Rasul itu telah membawa bukti, alasan dan dalil yang benar yang membuktikan kebenaran yang mereka bawa, tetapi manusia menyelisihi mereka sehingga mereka menerima akibat seperti ini. Oleh itu, pada hari itu cercalah diri sendiri kerana itu adalah dosa akibat menyelisihi Rasul, dan dia (Iblis) sekali-kali tidak dapat memberi manfaat, menolong dan membebaskan mereka daripada apa yang menimpa mereka.

Pada hari itu, Iblis mengatakan bahawa dia mengingkari atau menyangkal tindakan mereka yang menyekutukannya dengan Allah Swt dalam hal ketaatan ketika di dunia.

Ini bermaksud Iblis berlepas diri daripada kemusyrikan dan pengingkaran serta tidak membenarkan dan tidak menyetujuinya.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dan mengikuti kebatilan akan mendapat seksaan yang pedih.