Surah 14: Ibrahim (21)

Semua Manusia Pasti Dihimpunkan di Padang Mahsyar

Surah 14: Ibrahim (21)


Ayat 21

وَبَرَزُوا۟ لِلَّهِ جَمِيعًا فَقَالَ ٱلضُّعَفَـٰٓؤُا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوٓا۟ إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا مِنْ عَذَابِ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ ۚ قَالُوا۟ لَوْ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ لَهَدَيْنَـٰكُمْ ۖ سَوَآءٌ عَلَيْنَآ أَجَزِعْنَآ أَمْ صَبَرْنَا مَا لَنَا مِن مَّحِيصٍ

Dan mereka semuanya (di Mahsyar) akan berkumpul menghadap Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong, “Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menghindarkan daripada kami azab Allah (walaupun) sedikit sahaja?” Mereka menjawab, “Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepada kamu. Sama sahaja bagi kita sama ada kita mengeluh atau bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri.”

Apabila berlaku kiamat semua makhluk sama ada yang baik mahupun yang jahat akan berkumpul untuk dihisab. Mereka berdiri menghadap Allah Swt di padang yang luas dan datar. Ketika itu mereka tidak dapat menyembunyikan diri daripada sesiapa pun.

Para pengikut akan menyalahkan pemimpin yang membawa mereka kepada kesesatan. Mereka mengatakan bahawa ketika di dunia dahulu, pemimpin itulah yang menyesatkan dan menghiasi kesesatan itu sehingga mereka pun tersesat. Para pemimpin pula akan membela diri mereka. Mereka saling berbantah-bantahan dan membela diri masing-masing. Firman Allah Swt:

“Dan (ingatlah), ketika mereka berbantah-bantah dalam neraka, maka orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, ‘Sesungguhnya kami adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan dari kami sebahagian azab api neraka?’ Orang-orang yang menyombongkan diri menjawab, ‘Sesungguhnya kita semua sama-sama dalam neraka kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan keputusan antara hamba-hamba-(Nya).’”

Ghafir 40:47-48