Kasih Sayang Allah Swt terhadap Makhluk-Nya
Surah 14: Ibrahim (4)
Ayat 4
وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dia-lah (Rabb) Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
Ayat ini merupakan sebahagian daripada kasih sayang Allah Ta’ala bahawa Dia mengutuskan para Rasul daripada kalangan mereka dengan bahasa mereka sendiri supaya mudah difahami apa yang disampaikan. Oleh itu, setiap Nabi hanya diutuskan untuk menyampaikan kepada umatnya sahaja.
Nabi Muhammad saw adalah utusan Allah Swt yang membawa risalah kepada seluruh manusia. Walaupun Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, bukanlah bererti bahawa Al-Quran untuk bangsa Arab sahaja tetapi ia adalah untuk seluruh umat hingga akhir zaman. Firman-Nya:
“Katakanlah, ‘Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku ini adalah Rasul (utusan) Allah kepada kamu semua……………..’”
Al-A’raf 7:158
Daripada Jabir ra dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku; (1) Aku diberi kemenangan dengan rasa takut (yang dilemparkan ke dalam hati musuh) selama satu bulan sebelum peperangan dimulai, dan (2) bumi (tanah) ini dijadikan untukku sebagai tempat sujud (solat/masjid) dan alat untuk bersuci, (3) dihalalkan untukku harta rampasan perang yang tidak dihalalkan bagi seorang Rasul pun sebelumku, (4) aku diberikan syafaat dan (5) jika para Nabi sebelumku diutus khusus kepada kaumnya sahaja, maka aku diutus kepada seluruh umat manusia.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Meskipun penerangan tentang wahyu telah disampaikan dengan jelas, masih ada juga yang tidak mahu menerima kebenaran malah memilih untuk menjadi sesat. Allah Swt dengan keperkasaan, ilmu dan kebijaksanaan-Nya menyesatkan orang yang memang layak untuk disesatkan serta memberi petunjuk kepada yang layak menerimanya. Hal itu merupakan sunnah atau ketentuan-Nya dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi, manakala apa yang Dia tidak kehendaki pasti tidak akan terjadi.