Antara Bukti Kekuasaan dan Kebesaran Allah Swt adalah Kilat dan Guruh
Surah 13: Ar-Ra’d (12 – 13)
Ayat 12
هُوَ ٱلَّذِى يُرِيكُمُ ٱلْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنشِئُ ٱلسَّحَابَ ٱلثِّقَالَ
Dia-lah yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung.
Allah Swt memberitahu bahawa Dia-lah yang menundukkan kilat, iaitu cahaya terang yang memancar di celah-celah awan yang mendung.
Qatadah mengatakan bahawa kilat menimbulkan ketakutan kepada orang-orang yang sedang dalam perjalanan disebabkan bimbang terhadap bahaya yang mungkin timbul daripadanya. Manakala orang-orang yang tinggal di tempat kediaman masing-masing berharap kepada keberkatan dan manfaat serta rezeki daripada Allah Swt berupa hujan yang akan turun setelah datangnya kilat.
Allah Swt menciptakan awan sebagai sumber air kerana di dalamnya mengandungi air yang akhirnya akan turun sebagai hujan.
Ayat 13
وَيُسَبِّحُ ٱلرَّعْدُ بِحَمْدِهِۦ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِۦ وَيُرْسِلُ ٱلصَّوَٰعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَن يَشَآءُ وَهُمْ يُجَـٰدِلُونَ فِى ٱللَّهِ وَهُوَ شَدِيدُ ٱلْمِحَالِ
Dan guruh itu bertasbih memuji-Nya, dan (demikian pula) malaikat (bertasbih memuji-Nya), kerana takut kepada-Nya. Dan Allah menghantarkan halilintar (petir), lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mereka yang ingkar itu berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dia Maha Keras seksaan-Nya.
Allah Swt memberitahu bahawa guruh bertasbih mensucikan-Nya daripada sekutu dan sifat lemah, mempamerkan kepatuhan kepada-Nya dan ketundukan kepada kekuasaan dan hikmah-Nya. Firman-Nya:
“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.”
Al-Isra’ 17:44
Para malaikat juga bertasbih mensucikan Allah Swt kerana kebesaran dan keagungan-Nya.
Allah Ta’ala juga menyebutkan bahawa Dia melepaskan petir sebagai malapetaka yang digunakan untuk menghukum sesiapa sahaja yang Dia kehendaki kerana ia boleh membunuh manusia dan jin. Petir ini juga banyak terjadi pada akhir zaman. Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra, beliau berkata Rasulullah saw bersabda:
“Halilintar (petir) banyak terjadi ketika Hari Kiamat sudah semakin dekat, sehingga seseorang mendatangi kaum dan bertanya, “Siapakah yang mati disambar petir hari ini?” Lalu mereka berkata, “Si fulan, si fulan dan si fulan.”
(HR. Ahmad)
Masing-masing kilat dan guruh adakalanya petanda kebaikan dan keburukan. Oleh itu, Rasulullah saw memerintahkan umatnya membaca doa ketika melihat kilat dan mendengar guruh seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik, daripada ’Abdullah bin Az-Zubair ra:
سُبْحَانَ الَّذِيْ يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيْفَتِهِ
(Maha Suci Allah yang guruh dan para malaikat bertasbih dengan memuji-Nya kerana rasa takut kepada-Nya).
(HR. Malik)
Maksud “berbantah-bantahan tentang Allah” dalam ayat di atas ialah orang-orang ingkar tersebut meragukan keagungan-Nya. Padahal tidaklah Dia menginginkan sesuatu kecuali Dia melakukannya, tidak ada yang menolaknya, dan tidak ada yang dapat terlepas daripada-Nya. Oleh sebab Dia yang menurunkan hujan, mengatur segala urusan dan semua makhluk yang ditakuti oleh manusia tunduk kepada-Nya, serta Dia Yang Maha Kuat, maka Dia-lah yang berhak disembah, bukan selain-Nya.