Surah 13: Ar-Ra’d (10 – 11)

Pengawasan Para Malaikat atas Perintah Allah Swt terhadap Mahkluk-Nya dan Allah Tidak Mengubah Keadaan Sesuatu Kaum sehingga Mereka Mengubah Keadaan Diri Mereka Sendiri

Surah 13: Ar-Ra’d (10 – 11)


Ayat 10

سَوَآءٌ مِّنكُم مَّنْ أَسَرَّ ٱلْقَوْلَ وَمَن جَهَرَ بِهِۦ وَمَنْ هُوَ مُسْتَخْفٍ بِٱلَّيْلِ وَسَارِبٌۢ بِٱلنَّهَارِ

Sama sahaja (bagi Allah), siapa di antara kamu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi pada malam hari dan yang keluar berjalan (menampakkan diri) pada siang hari.

Allah Swt memberitahu bahawa Dia mengetahui semua yang ada dalam hati setiap makhluk-Nya sama ada yang disembunyikan ataupun yang diucapkan secara terang-terangan. Dia pasti mendengar semuanya dan tidak ada satu pun yang tersembunyi daripada-Nya. Firman-firman-Nya:

“Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi.”

Taha 20:7

“………..dan (Allah) Maha Mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan.”

An-Naml 27:25

Ayat 11

لَهُۥ مُعَقِّبَـٰتٌ مِّنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ يَحْفَظُونَهُۥ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوْمٍ سُوٓءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ

Bagi setiap manusia ada para malaikat yang selalu mengikutinya bergilir-gilir, di hadapan dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Ayat ini menyatakan bahawa bagi setiap orang ada malaikat yang menjaga atau mengawal dari hadapan dan belakang supaya tidak tertimpa kecelakaan. Selain itu ada malaikat yang bertugas mencatat segala perbuatan baik dan buruk manusia. Malaikat bertugas secara bergilir-gilir pada waktu siang dan malam.

Allah Swt sekali-kali tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, selagi mereka sendiri tidak mengubah keadaan diri mereka. Ini bermaksud Allah Swt tidak akan menarik kenikmatan yang dirasai oleh mereka kecuali mereka sendiri yang melakukan perkara-perkara yang mengakibatkan kehilangan kenikmatan tersebut. Begitu juga jika mereka berada dalam keadaan menderita kesusahan atau kemunduran, Allah Swt tidak akan mengubahnya kepada kesenangan kecuali mereka sendiri berusaha untuk mendapatkan kesenangan.

Ada pula yang mentafsirkan, bahawa Allah Swt tidak akan mencabut nikmat yang diberikan-Nya, sehingga mereka mengubah diri mereka, seperti berubah daripada keimanan kepada kekafiran, daripada taat kepada maksiat dan daripada syukur kepada kufur. Demikian pula apabila seorang hamba mengubah keadaan diri mereka daripada maksiat kepada taat, Allah Swt akan mengubah keadaannya daripada sengsara kepada kebahagiaan.

Oleh sebab itu, setiap orang yang melakukan perbuatan yang dimurkai Allah Swt, hendaklah berhati-hati kerana tiada siapa yang akan selamat daripada seksaan-Nya.