Kesempurnaan Ilmu Allah Swt tentang Makhluk-Nya
Surah 13: Ar-Ra’d (8 – 9)
Ayat 8
ٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَحْمِلُ كُلُّ أُنثَىٰ وَمَا تَغِيضُ ٱلْأَرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ ۖ وَكُلُّ شَىْءٍ عِندَهُۥ بِمِقْدَارٍ
Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh setiap perempuan dan kandungan rahim yang kurang sempurna dan yang bertambah. Dan segala sesuatu pada sisi-Nya dan ukurannya.
Allah Ta’ala menyatakan kesempurnaan ilmu-Nya yang tiada suatu apa pun yang tersembunyi daripada-Nya. Dia Maha Mengetahui apa yang dikandung dalam perut wanita-wanita yang hamil. Dia mengetahui jantina bayi tersebut, sama ada cukup sifat atau cacat anggotanya, keadaan hidupnya dalam celaka atau pun bahagia begitu juga dengan ajalnya.
Daripada Ibnu Mas’ud ra, beliau berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
“Sesungguhnya salah seorang di antara kalian dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari, lalu dalam masa empat puluh hari itu pula berubah menjadi segumpal darah. Kemudian setelah itu, selama empat puluh hari pula berubah menjadi segumpal daging. Saat itulah Allah mengutus malaikat yang diperintahkan untuk menulis empat perkara, iaitu menetapkan rezeki, usia, amal perbuatan dan apakah celaka atau bahagia.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Ibnu ’Umar ra bahawasanya Rasulullah saw bersabda:
“Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. (1) Tidak ada yang tahu tentang apa yang akan terjadi pada esok hari melainkan Allah, (2) tidak ada yang tahu tentang hakikat umur seseorang (berkurang atau bertambah) kecuali Allah, (3) tidak ada yang tahu bila turunnya hujan selain Allah, (4) sesiapa pun tidak ada yang tahu, di mana dia akan meninggal dunia dan (5) tidak ada yang tahu bila berlakunya hari kiamat kecuali Allah Swt.”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 9
عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ ٱلْكَبِيرُ ٱلْمُتَعَالِ
Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak, Yang Maha Besar, lagi Maha Tinggi.
Allah Maha Mengetahui segala sesuatu, sama ada yang dapat dilihat oleh makhluk-Nya atau yang ghaib daripada mereka. Tidak ada sesuatu pun yang samar bagi Allah Swt. Allah Maha Besar daripada segala-galanya, dan Maha Tinggi atas tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya ilmu-Nya meliputi segala sesuatu. Dia berhak terhadap makhluk-makhluk-Nya dan semuanya tunduk kepada kekuasaan-Nya sama ada dalam keadaan redha ataupun terpaksa.