Ucapan yang Menghairankan daripada Orang Kafir dan Kesombongan Mereka
Surah 13: Ar-Ra’d (5 – 7)
Ayat 5
وَإِن تَعْجَبْ فَعَجَبٌ قَوْلُهُمْ أَءِذَا كُنَّا تُرَٰبًا أَءِنَّا لَفِى خَلْقٍ جَدِيدٍ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلْأَغْلَـٰلُ فِىٓ أَعْنَاقِهِمْ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Dan jika (ada sesuatu) yang kamu hairankan, maka yang patut menghairankan adalah ucapan mereka, “Apabila kami telah menjadi tanah, apakah kami sesungguhnya akan (dikembalikan) menjadi makhluk yang baru?” Orang-orang itulah yang kafir kepada Rabbnya, dan orang-orang itulah (yang dilekatkan) belenggu di lehernya. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
Allah Swt menyatakan kepada Rasulullah saw, sekiranya ada sesuatu yang menghairankan, maka yang patut menghairankan Baginda ialah ucapan kaum musyrik yang mengingkari adanya kehidupan setelah kematian. Mereka mendustakan Hari Kiamat sedangkan mereka telah menyaksikan sendiri ayat-ayat Allah Swt dan tanda-tanda kekuasaan pada penciptaan-Nya.
Mereka juga mengaku bahawa Allah Swt telah menciptakan sesuatu tanpa diawali dengan contoh tetapi setelah itu mereka tidak mempercayai kekuasaan Allah Swt untuk menghidupkan semula diri mereka yang telah hancur. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas apa yang Dia kehendaki.
Semua orang yang berilmu dan berakal pasti mengetahui bahawa sesungguhnya penciptaan tujuh lapisan langit dan bumi jauh lebih sukar daripada penciptaan manusia tetapi Allah Swt berkuasa menciptanya tanpa mengalami kesukaran. Oleh itu menghidupkan makhluk yang sudah mati tentunya lebih mudah bagi-Nya. Firman-Nya:
“Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak mengalami kesukaran kerana menciptakannya, berkuasa menghidupkan orang-orang mati? Ya (bahkan) sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Al-Ahqaf 46:33
Golongan yang kufur ini akan dipasangkan belenggu di leher-leher mereka dan diseret ke dalam api neraka. Mereka kekal di dalamnya. Wal’iyazubillahi min zalik.
Ayat 6
وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِٱلسَّيِّئَةِ قَبْلَ ٱلْحَسَنَةِ وَقَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِمُ ٱلْمَثُلَـٰتُ ۗ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍ لِّلنَّاسِ عَلَىٰ ظُلْمِهِمْ ۖ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Dan mereka meminta kepadamu supaya disegerakan (datangnya) seksaan sebelum (mereka meminta) kebaikan padahal telah terjadi bermacam-macam seksaan sebelum mereka. Sesungguhnya Rabbmu benar-benar mempunyai keampunan (yang luas) bagi manusia sekalipun mereka zalim dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar keras seksaan-Nya.
Allah Swt memberitahu tentang kebodohan orang-orang yang mendustakan Rasul-Nya dan menyekutukan-Nya dengan sesuatu. Mereka sambil mengejek meminta Rasulullah saw segera mendatangkan seksaan Allah Swt, sedangkan sepatutnya mereka terlebih dahulu memohon rahmat dan keselamatan.
Mereka meminta hukuman disegerakan itu adalah kerana mereka benar-benar tidak mempercayai adanya kehidupan setelah kematian, padahal telah terjadi pelbagai contoh seksaan yang ditimpakan oleh Allah Swt kepada orang-orang yang mendustakannya.
Kemudian Allah Swt memberitahu sekiranya bukan kerana sifat sabar dan pemaaf-Nya, pastilah Dia akan menyegerakan seksaan terhadap mereka. Sesungguhnya Dia memiliki keampunan, kemaafan dan pertolongan kepada manusia, meskipun mereka itu melakukan kezaliman dan dosa siang dan malam.
Namun Allah Ta’ala mengiringi ketetapan adanya ampunan dan rahmat dengan penjelasan bahawa hukuman-Nya juga sangat keras terhadap mereka yang terus kufur. Firman-Nya:
“Maka jika mereka mendustakan kamu, katakanlah: ‘Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas dan siksa-Nya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa.’”
Al-An’am 6:147
Ayat 7
وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ ءَايَةٌ مِّن رَّبِّهِۦٓ ۗ إِنَّمَآ أَنتَ مُنذِرٌ ۖ وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٍ
Orang-orang yang kafir berkata, “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) suatu tanda (kebesaran) daripada Rabbnya.” Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk.
Allah Ta’ala menceritakan sifat orang-orang musyrik yang kufur dan keras kepala. Mereka mengatakan mengapa Rasulullah saw tidak mendatangkan mukjizat sebagai suatu tanda kebesaran daripada Allah Swt sebagaimana yang berlaku kepada para Rasul yang terdahulu. Mereka juga mendesak Baginda agar mengubah Bukit Safa menjadi emas, menggantikan gunung-ganang dengan padang rumput yang penuh dengan sungai-sungai. Allah Swt menjawab pertanyaan mereka dengan firman-Nya:
“Dan sekali-kali tidak ada yang menghalang Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Thamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. Dan Kami tidak memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakuti.”
Al-Isra’ 17:59
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw hanyalah seorang pemberi peringatan. Baginda hanya berkewajipan menyampaikan risalah Allah Swt yang diperintahkan kepadanya dan bukan menjadi kewajipan untuk memberi hidayah kepada kaumnya. Hidayah adalah milik Allah Swt, Dia sahaja yang berhak memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Selain itu, Dia juga menyatakan bahawa bagi tiap-tiap kaum ada orang yang berdakwah kepada mereka. Firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.”
Fatir 35:24