Tanda-tanda Kesempurnaan dan Kebesaran Allah Swt
Surah 13: Ar-Ra’d (2 – 4)
Ayat 2
ٱللَّهُ ٱلَّذِى رَفَعَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ۖ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۖ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِى لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ يُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقَآءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ
Allah-lah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. (Allah) mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan(mu) dengan Rabbmu.
Allah Swt memberitahu tentang kesempurnaan kekuasaan dan kebesaran kerajaan-Nya serta keesaan-Nya dalam mencipta dan mengatur seluruh alam. Oleh itu, hanya Dia-lah yang berhak disembah.
Allah Swt juga menyatakan bahawa dengan izin dan perintah-Nya, langit diangkat setinggi-tinginya tanpa tiang sehingga tidak ada yang dapat mencapai atau mengukur ketinggiannya.
Kemudian Allah Ta’ala bersemayam di atas ‘Arasy. Penerangan tentang Allah Swt bersemayam di atas ’Arasy ini telahpun disebutkan dalam surah Al-A’raf iaitu bersemayamnya Allah Swt tanpa menanyakan bagaimana caranya (takyif), tanpa menyerupakannya dengan makhluk (tasybih) dan tanpa memisalkannya dengan keadaan makhluk (tamsil).
Allah Ta’ala juga yang menundukkan matahari dan bulan di bawah peraturan hukum alam-Nya, masing-masing beredar menurut waktu yang telah ditentukan. Ada juga yang mentafsirkannya bahawa matahari dan bulan akan terus beredar di tempat peredaran masing-masing sehingga hari kiamat. Firman-Nya:
“Dan matahari berjalan di tempat peredarannya……………”
Yasin 36:38
Allah Ta’ala mengatur urusan alam semesta dan menjalankannya menurut kehendak-Nya serta sesuai dengan hikmah-Nya. Dia menghidupkan dan mematikan, memuliakan dan menghinakan, juga menjadikan seseorang itu kaya dan miskin. Dia menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya agar hamba-hamba-Nya yakin akan pertemuan dengan-Nya kelak di akhirat.
Ayat 3
وَهُوَ ٱلَّذِى مَدَّ ٱلْأَرْضَ وَجَعَلَ فِيهَا رَوَٰسِىَ وَأَنْهَـٰرًا ۖ وَمِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ جَعَلَ فِيهَا زَوْجَيْنِ ٱثْنَيْنِ ۖ يُغْشِى ٱلَّيْلَ ٱلنَّهَارَ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan Dia-lah (Rabb) yang membentangkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan sungai-sungai. Dan padanya Dia menjadikan semua buah-buahan berpasang-pasangan, Dia menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.
Setelah Allah Swt menyebutkan bahagian alam atas (langit), Dia menyebutkan pula tentang kekuasaan, hikmah dan penciptaan-Nya iaitu Dia-lah yang telah menjadikan bumi terbentang luas (memiliki panjang dan lebar), lalu didirikan padanya gunung-gunung yang tinggi menjulang bagi mengukuhkannya.
Allah Ta’ala juga mengalirkan pada bumi ini sungai-sungai, parit-parit dan mata air-mata air untuk menyirami apa yang ada padanya seperti pokok buah-buahan yang beraneka warna, bentuk, rasa, dan baunya.
Kemudian Allah Swt menciptakan daripada setiap jenis buah-buahan itu berpasang-pasangan (berlainan kelamin).
“Dia menutupkan malam kepada siang” bermaksud Allah Swt menjadikan siang dan malam silih berganti dengan terus menerus. Apabila malam telah pergi, maka datanglah siang, begitu juga apabila siang berlalu malam pun tiba. Allah Swt berkuasa mengatur perjalanan waktu (zaman), sebagaimana Dia berkuasa mengatur tempat.
Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah Swt bagi kaum yang memikirkannya. Ini bermaksud dalam segala anugerah, kebijaksanaan dan petunjuk Allah Swt itu terdapat tanda-tanda kebesaran-Nya.
Ayat 4
وَفِى ٱلْأَرْضِ قِطَعٌ مُّتَجَـٰوِرَٰتٌ وَجَنَّـٰتٌ مِّنْ أَعْنَـٰبٍ وَزَرْعٌ وَنَخِيلٌ صِنْوَانٌ وَغَيْرُ صِنْوَانٍ يُسْقَىٰ بِمَآءٍ وَٰحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَىٰ بَعْضٍ فِى ٱلْأُكُلِ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.
Pada bumi ini terdapat bahagian-bahagian tanah-tanah yang berdekatan antara satu dengan yang lain. Meskipun berdekatan atau bersebelahan, kesuburan tanah-tanah tersebut berbeza-beza. Ada bahagian yang subur sehingga dapat menumbuhkan tanaman yang bermanfaat kepada manusia, manakala tanah di sebelahnya gersang. Pendapat ini adalah diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Sa’id bin Jubair, Adh-Dhahhak dan lain-lain.
Termasuk juga dalam pengertian ayat ini ialah terdapat struktur, tekstur dan warna tanah yang berbeza-beza. Ada yang berwarna merah, putih, kuning, hitam, berbatu, gembur, berpasir, keras, lembut, dan lain-lain, padahal semuanya berdekatan, dan masing-masing tetap pada sifat-sifat yang tersendiri.
Ayat, “Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir” bermaksud perbezaan dalam jenis buah-buahan dan tanaman itu dari segi bentuk, warna, rasa, bau, daun dan bunganya, ada yang sangat manis dan ada yang sangat masam, sangat pahit, segar, dan ada yang bercampur bermacam-macam rasanya, kemudian ada yang berubah rasa dengan izin Allah Swt. Ada yang berwarna kuning, merah, putih, hitam, biru, dan lain-lain. Demikian juga dengan beraneka warna bunga, padahal semuanya berasal dari satu zat alam yang sama iaitu air, tetapi menghasilkan tumbuh-tumbuhan yang buahnya beraneka warna dan rasa yang tidak terhitung banyaknya. Sesungguhnya dalam hal-hal seperti itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah Swt bagi orang yang menyedarinya. Dia-lah Yang Maha Pencipta dan sebaik-baik Pengatur. Pasti sesungguhnya tidak ada Ilah selain Allah Swt.