Surah 11: Hud (116 – 117)

Allah Swt Tidak Mensia-siakan Perbuatan Baik Seseorang

Surah 11: Hud (116 – 117)


Ayat 116

فَلَوْلَا كَانَ مِنَ ٱلْقُرُونِ مِن قَبْلِكُمْ أُو۟لُوا۟ بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْفَسَادِ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّنْ أَنجَيْنَا مِنْهُمْ ۗ وَٱتَّبَعَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مَآ أُتْرِفُوا۟ فِيهِ وَكَانُوا۟ مُجْرِمِينَ

Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.

Dalam ayat sebelumnya, Allah Swt menyebutkan tentang kebinasaan umat-umat terdahulu yang mendustakan para Rasul. Dia menyebutkan, sekiranya di kalangan umat-umat itu ada orang-orang yang mengajak kepada petunjuk dan melarang melakukan perbuatan buruk, tentu mereka akan selamat, namun sedikit sekali orang yang melakukannya.

Allah Swt memerintahkan umat yang mulia ini agar ada di kalangan mereka melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Firman-Nya:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada perkara yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.”

Ali ‘Imran 3:104

Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya apabila umat manusia melihat suatu kemungkaran lalu mereka tidak mengubahnya, maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab kepada mereka seluruhnya.”

(HR. Ibnu Majah)

Ayat 117

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

Allah Swt sekali-kali tidak akan membinasakan sesebuah negeri kecuali apabila penduduk-penduduknya melakukan kezaliman.

Ayat ini boleh juga dimaksudkan bahawa Allah Swt tidak akan membinasakan negeri-negeri disebabkan oleh kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu yang telah bertaubat dan memperbaiki amal mereka. Ini kerana Allah Swt akan memaafkan dan menghapuskan dosa-dosa akibat daripada kezaliman mereka yang telah lalu apabila mereka bertaubat.