Perintah agar Mendirikan Solat dan Bersabar
Surah 11: Hud (114 – 115)
Ayat 114
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَىِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ ٱلَّيْلِ ۚ إِنَّ ٱلْحَسَنَـٰتِ يُذْهِبْنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ
Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan beberapa pendapat tentang maksud ayat, “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang)” iaitu:
▪️ Ibnu ’Abbas ra merujuk kepada solat Subuh dan solat Maghrib.
▪️ Al-Hasan merujuk kepada solat Subuh dan solat Asar
▪️ Mujahid merujuk kepada solat Subuh pada awal siang dan seterusnya solat Zohor dan solat Asar pada akhirnya.
Ayat, “dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam.” bermaksud solat Maghrib dan Isyak. Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda:
“Dua solat pada permulaan malam adalah solat Maghrib dan solat Isyak.”
(HR. At-Tabari)
Sesungguhnya perbuatan yang baik dapat menghapuskan dosa-dosa kecil. Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian dia mengerjakan solat dua rakaat dan tidak berkata-kata pada dirinya (akan perkara dunia) dalam dua rakaat itu, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
“Solat lima waktu, solat Jumaat ke Jumaat (berikutnya), dan dari Ramadhan ke Ramadhan (berikutnya) adalah penghapus dosa-dosa yang ada di antara keduanya selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.”
(HR. Muslim)
“Tidaklah seorang mukmin melakukan perbuatan dosa, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat dua rakaat, kecuali dia akan diampuni.”
(HR. Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Ayat 115
وَٱصْبِرْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
Allah Swt tidak akan mensia-siakan hamba-hamba-Nya yang bersabar dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan semata-mata kerana-Nya.