Surah 11: Hud (112 – 113)

Perintah agar Istiqamah atas Jalan yang Benar dan Tidak Cenderung kepada Orang yang Zalim

Surah 11: Hud (112 – 113)


Ayat 112

فَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw dan umatnya agar istiqamah terhadap ajaran yang benar dan dalam melaksanakan perintah-Nya.

Rasulullah saw juga dilarang bersikap melampaui batas terhadap perintah dan larangan-Nya dengan tidak berlebihan dan tidak pula menguranginya kerana perbuatan itu akan menggelincirkan kepada kehancuran.

Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Nya, kemudian akan memberikan balasan atas perbuatan yang mereka kerjakan.

Ayat 113

وَلَا تَرْكَنُوٓا۟ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan orang-orang beriman tentang bahaya sekiranya mereka cenderung kepada orang-orang zalim sehingga menyebabkan mereka terheret ke dalam api neraka.

Ini kerana cenderung kepada orang-orang yang zalim adalah merupakan suatu kezaliman dan tidak akan mendapat pertolongan-Nya. Firman-firman-Nya:

“…………………Orang-orang yang berbuat zalim tidak ada seorang penolong pun baginya.”

Al-Baqarah 2:270

“……………………..Dan bagi orang-orang yang zalim sekali-kali tidak ada seorang penolong pun.”

Al-Hajj 22:71