Surah 11: Hud (106 – 108)

Keadaan Orang-orang yang Celaka dan Bahagia di Akhirat Kelak

Surah 11: Hud (106 – 108)


Ayat 106

فَأَمَّا ٱلَّذِينَ شَقُوا۟ فَفِى ٱلنَّارِ لَهُمْ فِيهَا زَفِيرٌ وَشَهِيقٌ

Adapun orang-orang yang celaka, maka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan nafas dan menariknya dengan (merintih),

Berkaitan dengan ayat, “Di dalamnya mereka mengeluarkan dan menarik nafas dengan merintih,” Ibnu ’Abbas ra berkata, “Zafir – mengeluarkan nafas (زَفِيرٌ) tempatnya di tenggorok dan Syahiq – menarik nafas (شَهِيق) tempatnya di dada. Maksudnya, mereka mengeluarkan nafas dengan merintih dan menarik nafas dengan sesak, disebabkan seksaan yang menimpa mereka.” Semoga Allah Swt melindungi kita daripada seksaan itu.

Ayat 107

خَـٰلِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ إِلَّا مَا شَآءَ رَبُّكَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالٌ لِّمَا يُرِيدُ

Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali jika Rabbmu menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Rabbmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki.

Ibnu Kathir mengatakan ayat, “Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi” boleh juga dimaksudkan sebagai ‘Mereka kekal di dalamnya selama masih ada langit dan bumi yang sejenis dengan langit dan bumi yang ada sekarang’, kerana di alam akhirat juga ada langit dan bumi.” Ini sebagaimana firman-Nya, “(Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian juga) langit.” (Ibrahim 14: 48)

Untuk itu, Al-Hasan Al-Basri mengatakan maksud, “Selama ada langit dan bumi,” ialah bukan langit dan bumi yang ada sekarang ini, kerana langit dan bumi yang sekarang ini adalah tidak kekal.

Ayat, “kecuali jika Rabbmu menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Rabbmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Allah kehendaki.” adalah sama seperti firman-Nya, “Neraka itu tempat diam kamu, sedang kamu kekal di dalamnya, kecuali jika Allah menghendaki (yang lain) Sesungguhnya Rabbmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (Al-An’am 6:128)

Para ahli tafsir berbeza pendapat tentang “kecuali” dalam ayat ini. Ada yang berpendapat “kecuali” itu adalah ditujukan kepada ahli maksiat daripada kalangan ahli tauhid, iaitu orang-orang yang dikeluarkan oleh Allah dari neraka setelah mendapat syafaat daripada para pemberi syafaat, iaitu para malaikat, para Nabi dan orang-orang mukmin, hingga mereka memberi syafaat kepada para pelaku dosa besar.

Kemudian, datanglah rahmat Allah yang Maha Penyayang, maka dikeluarkanlah orang yang tidak melakukan kebaikan sama sekali, namun dalam suatu masa dia mengucapkan, “La Ilaha Illallah.’” Ini sebagaimana telah diriwayatkan dalam hadis-hadis sahih yang masyhur daripada Rasulullah saw tentang hadis Anas, Jabir, Abu Said, Abu Hurairah dan sahabat-sahabat yang lain, iaitu: “Tidak akan tersisa dalam neraka setelah itu, kecuali orang yang patut kekal di dalamnya dan yang tidak ada keringanan sama sekali baginya.”

Ayat 108

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ سُعِدُوا۟ فَفِى ٱلْجَنَّةِ خَـٰلِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ إِلَّا مَا شَآءَ رَبُّكَ ۖ عَطَآءً غَيْرَ مَجْذُوذٍ

Adapun orang-orang yang berbahagia, maka tempat mereka adalah di dalam syurga, mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali Rabbmu menghendaki (yang lain), sebagai kurniaan yang tidak putus-putus.

Kemudian Allah Swt menyebutkan balasan bagi golongan yang beriman. Mereka adalah orang-orang yang berbahagia. Tempat mereka adalah di syurga dan mereka kekal di dalamnya.

Disebutkan dalam hadis:

“Maka dikatakan, ’Wahai ahli syurga! Sesungguhnya kalian akan hidup dan tidak pernah akan mati selama-lamanya. Kalian akan tetap muda dan tidak akan pernah tua selama-lamanya. Kalian akan tetap sihat dan tidak akan pernah sakit selama-lamanya. Dan kalian akan terus merasakan kenikmatan dan tidak akan pernah merasakan kesulitan selama-lamanya.’”

(HR. Muslim)