Pengajaran dari Kaum Terdahulu yang Dibinasakan
Surah 11: Hud (100 – 102)
Ayat 100
ذَٰلِكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلْقُرَىٰ نَقُصُّهُۥ عَلَيْكَ ۖ مِنْهَا قَآئِمٌ وَحَصِيدٌ
Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap).
Ketika Allah Swt menceritakan kisah para Rasul yang menghadapi tentangan daripada kaum masing-masing, Allah Swt juga memberitahu bagaimana Dia membinasakan mereka dan menyelamatkan orang-orang yang beriman.
Sebahagian bekas-bekas dan peninggalan negeri-negeri yang dibinasakan itu masih ada dan sebahagiannya musnah sama sekali. Kebinasaan mereka itu adalah untuk dijadikan iktibar kepada semua manusia supaya beriman kepada-Nya.
Ayat 101
وَمَا ظَلَمْنَـٰهُمْ وَلَـٰكِن ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ ۖ فَمَآ أَغْنَتْ عَنْهُمْ ءَالِهَتُهُمُ ٱلَّتِى يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ لَّمَّا جَآءَ أَمْرُ رَبِّكَ ۖ وَمَا زَادُوهُمْ غَيْرَ تَتْبِيبٍ
Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.
Allah Swt menyeksa mereka disebabkan kezaliman mereka sendiri. Ini kerana mereka mendustakan dan mengingkari ajaran para Rasul. Ketika mereka dibinasakan tiada satupun berhala-berhala yang mereka sembah itu dapat memberikan pertolongan.
Ayat 102
وَكَذَٰلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَآ أَخَذَ ٱلْقُرَىٰ وَهِىَ ظَـٰلِمَةٌ ۚ إِنَّ أَخْذَهُۥٓ أَلِيمٌ شَدِيدٌ
Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.
Allah Swt menjelaskan sebagaimana Dia telah membinasakan generasi-generasi dahulu yang zalim, maka seperti itu pula akan dilakukan kepada orang-orang yang menyerupai mereka.
Daripada Abu Musa Al-Asy’ariy ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada orang yang zalim. Namun apabila Dia sudah mengazabnya, maka Dia tidak akan melepaskannya. ” Kemudian Baginda membacakan ayat ini.
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)